HomeNEWSSelangor umum 3 inisiatif bendung Covid-19

Selangor umum 3 inisiatif bendung Covid-19

Inisiatif kerajaan negeri Selangor dalam membendung Covid-19 termasuk menjalankan program isolasi terhadap pekerja kargo Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA).

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor melaksanakan tiga inisiatif dalam membendung penularan pandemik Covid-19 termasuk program isolasi pekerja kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Besar Amirudin Shari berkata sehingga hari ini seramai 9,056 iaitu 82% daripada 11,000 pekerja tempatan dan warga asing di bahagian kargo telah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan hanya tujuh kes, semuanya warga tempatan, dikesan positif sejak Khamis lalu.

“Kos saringan akan ditanggung oleh pihak syarikat manakala kos penempatan dalam program isolasi pekerja dari 26 Nov hingga 9 Dis depan akan ditanggung separuh oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata inisiatif kedua pula ialah mengenal pasti lima lokaliti bagi menempatkan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Covid-19 dan ketiga meningkatkan penyelarasan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera.

Amirudin Shari.

Katanya, PKRC adalah bagi menempatkan pesakit positif yang tidak bergejala (asymptomatic) supaya dapat mengurangkan bebanan dan kepadatan pesakit di hospital Covid-19 sedia ada.

Bagi usaha terakhir, Amirudin berkata kerajaan negeri mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk membuat penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta PKD agar saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera.

Langkah itu dilaksanakan seperti yang telah diputuskan oleh kerajaan persekutuan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata walaupun berlakunya peningkatan kes Covid-19 di negeri ini, namun keadaan masih lagi terkawal.

“Ini kerana kes-kes terbaru itu didapati di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan kerajaan negeri percaya bahawa pelaksanaan langkah tersebut akan dapat mengurangkan risiko penyebaran wabak itu.

“Semua inisiatif yang disebutkan memperlihatkan komitmen serius kerajaan negeri dalam usaha menjamin penularan pandemik ini dapat dikawal dan dikekang sepenuhnya,” katanya.

Must Read

Related News