HomePoliticsRajinikanth tak jadi ceburi politik kerana ‘amaran tuhan’

Rajinikanth tak jadi ceburi politik kerana ‘amaran tuhan’

Rajinikanth pada awal bulan ini mengumumkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik dalam usaha membentuk kerajaan Tamil Nadu yang ‘bebas rasuah’. (Gambar AP)

CHENNAI: Bintang filem Tamil, Rajinikanth membatalkan rancangannya menceburi politik disebabkan masalah kesihatan dialaminya yang merupakan “amaran daripada tuhan”.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas pelakon filem aksi berusia 70 tahun itu dibenarkan keluar hospital akibat tekanan darah tinggi.

Terdahulu, Rajinikanth pada awal bulan ini mengumumkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik dalam usaha membentuk kerajaan “bebas rasuah” di negeri kelahirannya, Tamil Nadu.

Tetapi, beliau menerusi surat panjang lebar yang dimuat naik ke Twitternya menjelaskan pembatalan hasrat itu.

“Saya meminta maaf kerana tidak dapat melancarkan parti politik ini.

“Saya akan berkhidmat kepada rakyat dalam apa saja cara yang mampu, tanpa menyertai politik,” demikian menurut surat berbahasa Tamil itu.

Katanya, beliau tidak mahu berhenti separuh jalan selepas memulakan kempen besar-besaran.

Pada 2017, Rajinikanth mahu menyertai arena politik, tetapi peminatnya tertunggu-tunggu sehingga bulan ini apabila beliau mengumumkan partinya akan membawa politik “jujur dan telus” ke Tamil Nadu.

Pelakon itu membuktikan kekuatan politiknya pada 1996 dengan menggesa peminatnya menentang kerajaan Tamil Nadu, yang kemudiannya tewas dalam pilihan raya.

Rajinikanth meneruskan kerjayanya perfilemannya walaupun menghadapi masalah kesihatan dan menjalani penggambaran filemnya di Hyderabad ketika beliau jatuh sakit minggu lalu.

Must Read

Related News