HomeNEWSPenganggur ditahan cuba samun guna pistol tiruan

Penganggur ditahan cuba samun guna pistol tiruan

Polis berkata, suspek masuk ke dalam kereta mangsa sebelum mengacukan pistol untuk merampas barangan berharga. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur ditahan kerana disyaki cubaan menyamun menggunakan pistol tiruan di sebuah tempat letak kenderaan sebuah restoran di Kuchai Lama, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu cuba menyamun seorang pengurus bank di Jalan Kuchai Maju 8 pada 10.30 malam.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila wanita berusia 32 tahun itu yang baru selesai makan malam di restoran terbabit sedang memasuki keretanya di tempat letak kereta itu.

Katanya, suspek masuk ke dalam kereta mangsa sebelum mengacukan pistol untuk merampas barangan berharga.

Bagaimanapun, mangsa menjerit minta pertolongan sehingga menyebabkan suspek melarikan diri.

“Pada 10.45 malam hari sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan suspek di lokasi dan turut merampas sepucuk pistol tiruan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Katanya, 3 saksi di tempat kejadian dirakam percakapan mereka untuk membantu siasatan, sementara mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan dalam kejadian itu.

Must Read

Related News