HomeNEWSPutrajaya diminta pujuk pembuat sarung tangan bayar cukai durian runtuh

Putrajaya diminta pujuk pembuat sarung tangan bayar cukai durian runtuh

Seorang pensyarah ekonomi berkata, pendekatan atas-bawah terhadap cukai durian runtuh mungkin tidak berjaya.

PETALING JAYA: Seorang pensyarah ekonomi berkata, pembuat sarung tangan getah mungkin dipujuk untuk menerima cukai durian runtuh dilaksanakan ke atas keuntungan mereka, jika mereka dipanggil ke meja rundingan.

Goh Lim Thye, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya, berkata syarikat sarung tangan getah mungkin bersetuju dengan idea itu, jika kerajaan menjelaskan keperluan melaksanakan cukai itu dengan mengadakan dialog bersama syarikat terbabit.

“Saya fikir pendekatan atas-bawah tidak sesuai, tetapi ia (cukai durian runtuh) boleh dilaksanakan melalui dialog dan rundingan.”

Kerajaan berdepan tekanan berhubung cukai durian runtuh daripada beberapa ahli Parlimen.

Antara penyokong cukai itu yang paling lantang ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seorang bekas menteri, yang berkata syarikat itu meraih keuntungan berbilion dalam beberapa bulan ini akibat lonjakan permintaan ketika pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dari PKR dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dari DAP pula mendesak cukai durian runtuh ke atas minyak sawit dimansuhkan untuk mewujudkan saingan adil antara semua industri di negara ini.

Bagaimanapun, pakar ekonomi dari Universiti HELP, Hui Hon Chung berkata, 2 industri itu tidak sama.

Katanya, cukai durian runtuh ke atas minyak sawit berdasarkan harga MSM (minyak sawit mentah) yang tersedia untuk umum dan telus, sedangkan sarung tangan getah ialah produk dihasilkan yang tidak mempunyai harga jualan purata yang seragam atau telus.

“Satu ialah huluan, satu lagi hiliran.”

Hui berkata, rasional untuk cukai durian runtuh ke atas minyak sawit ialah untuk memberi subsidi kepada perkembangan penggunaan biodiesel, tetapi cukai durian runtuh ke atas pembuatan mungkin menghalang pertumbuhan sektor itu.

Pengeluar minyak sawit dikenakan levi 3% apabila harga MSM melepasi RM2,500 setan di Semenanjung Malaysia dan levi 1.5% apabila harga melebihi RM3,000 setan di Sabah serta Sarawak.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan ia menjangkakan cukai durian runtuh ke atas minyak sawit sebanyak RM348 juta dapat dikutip tahun ini.

Ketua ahli ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, daripada mengenakan cukai ke atas syarikat sarung tangan getah, kerajaan sepatutnya fokus memanfaatkan “juara global” ini untuk merangsang keseluruhan ekonomi negara.

Dengan menekankan pelbagai peluang berkaitan industri getah, beliau menggesa kerajaan memastikan syarikat sarung tangan getah Malaysia mendapatkan bahan mentah mereka daripada pengeluar tempatan.

“Dengan cara ini, kita sepatutnya dapat menghidupkan kembali industri getah dalam cara lebih holistik dengan menyepadukan sektor huluan dan hiliran.

“Pada masa sama, ini dapat membantu mempelbagaikan ekonomi kita dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya kepada FMT.

Must Read

Related News