HomeNEWSKWSP tak perlu pinjam dana tambahan untuk pengeluaran pendeposit, kata Najib

KWSP tak perlu pinjam dana tambahan untuk pengeluaran pendeposit, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Ahli Parlimen Subang mewakili PKR Wong Chen bahawa KWSP boleh mencairkan bon kerajaan yang dipegangnya untuk mendapatkan dana RM70 bilion.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata tiada keperluan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah atau meminjam dana tambahan bagi kemudahan pengeluaran pendeposit.

Dalam catatan di Facebook, Najib menjawab gesaan Ahli Parlimen Subang Wong Chen supaya Kementerian Kewangan menilai semula kemampuan KWSP untuk membenarkan pengeluaran daripada Akaun 1 kerana percaya dana itu tidak mempunyai keupayaan.

Wong Chen menyuarakan kebimbangannya setelah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, 8 juta pencarum KWSP akan dapat mengeluarkan sehingga RM10,000, membabitkan dana berjumlah RM70 bilion, daripada simpanan mereka pada 2021.

Najib berkata, mengikut undang-undang, sekurang-kurangnya 50% aset KWSP mestilah dalam bentuk sekuriti atau bon kerajaan, walaupun had ini boleh dilonggarkan tertakluk kepada persetujuan menteri kewangan.

“Oleh itu, 50% aset KWSP daripada RM940 bilion kini adalah dalam bentuk berkenaan. Pengeluaran RM70 bilion hanyalah 7.4% daripada jumlah aset KWSP. ”

Hasil daripada bon kerajaan, kata Najib, biasanya lebih rendah daripada dividen tahunan KWSP.

Oleh itu, mencairkannya tidak akan menghasilkan dividen yang lebih rendah kerana ia tidak perlu mencairkan aset yang menghasilkan pulangan yang lebih tinggi, seperti ekuiti, pemilikan langsung dalam syarikat dan hartanah.

Bagi memenuhi keperluan aliran tunai yang dianggarkan sebanyak RM70 bilion yang diperuntukkan untuk pengeluaran KWSP, Najib berkata, dana persaraan itu hanya perlu mencairkan bon kerajaan ke pasaran sekunder dengan pembeli tersedia ada.

“Sebagai alternatif, saya juga mencadangkan agar KWSP menjual bon kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meminimumkan kesan terhadap pasaran bon sekunder dan mencegah kenaikan hasil secara tiba-tiba.”

Najib berkata, apabila BNM membeli bon berkenaan, wang baru dihasilkan dan disuntik ke dalam ekonomi, dan ini adalah bentuk pelonggaran kuantitatif yang dilakukan oleh banyak negara.

“Sebenarnya, pada akhir September, BNM telah membeli bon kerajaan bernilai RM9 bilion.

“Terdapat sedikit risiko inflasi dengan BNM mempraktikkan pelonggaran kuantitatif ketika ini kerana kita sekarang berada dalam lingkungan deflasi apabila Malaysia mencatatkan inflasi negatif sepanjang tahun ini susulan permintaan dan harga minyak yang rendah akibat krisis Covid-19.”

Must Read

Related News