HomeNEWS‘Terperap’ di rumah ketika PKP jejas kesihatan, perkembangan kanak-kanak, kata pakar

‘Terperap’ di rumah ketika PKP jejas kesihatan, perkembangan kanak-kanak, kata pakar

Pakar berkata kanak-kanak ketika ini belum bersedia menjalani pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian di rumah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pakar pediatrik berkata kanak-kanak yang hanya “terperap” dalam rumah berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh menyebabkan kesihatan mereka terjejas.

Kew Seih Teck dari Universiti Malaysia Sabah berkata, ketika tempoh PKP juga kanak-kanak tidak dapat ke sekolah dan keadaan itu turut menjejaskan perkembangan mereka terutama dalam interaksi serta komunikasi dengan orang ramai.

“Kanak-kanak membesar dengan bermain dan pendidikan adalah berkaitan dengan masa depan mereka. Semasa PKP, kanak-kanak tidak dapat bersekolah dan belajar secara ‘online’ di rumah.

“Kekurangan senaman juga menjejaskan perkembangan fizikal seperti otot yang kurang kuat selain penggunaan telefon bimbit terlampau yang boleh merosakkan mata serta kemungkinan juga menjejaskan mental mereka,” katanya kepada FMT.

Kew berkata, kanak-kanak ketika ini belum bersedia menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di rumah.

“Kekuatan saluran (PdP) agak terhad dan kerja ‘praktikal’ sukar dilakukan menerusi ‘online’ atau kesimpulannya keberkesanan PdP tidak dapat menandingi pembelajaran dalam kelas di sekolah.

Kew Seih Teck.

“Aktiviti di luar sangat penting, mereka (kanak-kanak) boleh bermain, berlari, dan beriteraksi dengan kawan, ia satu kegembiraan yang tidak terkira.

“(Medium) Internet juga membantu tetapi tanpa kawalan ia boleh membahayakan perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah berkata, ibu bapa perlu mencari keseimbangan bagi memastikan anak mereka tidak terlalu “terperap” dalam rumah sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun, katanya keselamatan dan kesihatan tetap menjadi keutamaan terutama dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ketika ini.

“Air boleh melayari perahu tetapi ia juga boleh tenggelamkannya. Kawalan Covid-19 sangat penting namun ia ada batasannya kerana satu masa nanti kita terpaksa hidup dengannya.

“Setiap orang kena belajar cara melindungi diri sendiri sebab ia merebak ke komuniti kita,” katanya.

Kew berkata, Malaysia juga bernasib baik kerana sentiasa ada sinaran matahari kerana walaupun seseorang itu jarang keluar dari rumah, mereka masih boleh mendapatkan cahaya matahari dari rumah untuk menghasilkan vitamin D.

“Berbanding di Eropah yang mana mempunyai musim salji yang sejuk selain waktu siang yang pendek. Penduduk di sana terpaksa menggunakan pakaian yang tebal dan kurang terdedah kepada pancaran matahari, ini boleh menyebabkan kanak-kanak di sana kekurangan vitamin D dan penyakit riket boleh berlalu,” katanya.

Must Read

Related News