Umno tidak tolak kemungkinan bentuk kerajaan bersama parti lain, termasuk PH, kata Zahid

0
269
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan BN perlu engambil pendekatan baru bagi membentuk kerajaan di Perak.

IPOH: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan parti itu akan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa dibuat susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainuddin sebelum ini.

“Kita tahu dari kenyataan setiausaha agung PAS dan PPBM, maka satu pendekatan baru akan diambil oleh Umno dan BN (Barisan Nasional) bagi membentuk kerajaan baru.

“Tetapi ia akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk lebih kukuh dukungannya,” katanya kepada pemberita di luar Istana Kinta selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebentar tadi.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata parti itu tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu Perak susulan peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar setelah beliau tewas dalam usul percaya ke atasnya yang di bawa oleh Umno Jumaat lalu.

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainuddin pula mendedahkan 24 daripada 25 Adun Umno menolak Faizal dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) sebelum mengambil tindakan susulan.

Ahmad Zahid berkata, keutamaan Umno adalah bagi mengekal jajaran dan kerjasama politik terdahulu iaitu membabitkan kerjasama bersama Muafakat Nasional dan PN namun apa jua tindakan parti itu mesti bertapak kepada realiti

“Kita akan lihat semua kemungkinan. Sebaik mungkin, kita kekalkan jajaran terdahulu…jika ia tak dapat dilakukan, tentunya ada kesesuaian untuk kita lakukan penjajaran (politik) yang baharu,” katanya.

Katanya, ia termasuk kemungkinan menjalinkan kerjasama bersama PH dan DAP, bagaimanapun ia masih tertakluk kepada keputusan muktamad parti.

Beliau berkata, perbincangan antara Umno dan parti komponen iaitu PPBM dan PAS sudah dilakukan pimpinan Umno Perak, manakala beliau akan mengadakan perbincangan susulan di peringkat pusat.

Umno mempunyai 25 Adun di DUN Perak, manakala PPBM mempunyai lima Adun dan PAS, tiga. Tanpa sokongan padu PPBM dan PAS, Umno terpaksa mengharapkan sokongan PH untuk meraih kerusi MB.

Mengulas pertemuan beliau dengan Sultan Perak, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mempersembahkan nama calon menteri besar kepada Sultan Perak untuk diperkenankan dan menjadi kuasa mutlak baginda untuk memperkenankan nama yang akan dibawa.