HomeNEWSTiada pihak dominan dalam gabungan parti Melayu, kata Saifuddin

Tiada pihak dominan dalam gabungan parti Melayu, kata Saifuddin

Setiausaha PPBM Pahang Saifuddin Abdullah yang menghadiri program Indera Mahkota Prihatin di Kuantan berkata, gabungan parti Melayu perlu mengetepikan isu pihak mana lebih dominan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Tidak timbul isu parti mana yang lebih dominan sekiranya gabungan PPBM, PAS dan Umno dibentuk bagi menghadapi pilihan paya umum ke-15 nanti, kata setiausaha PPBM Pahang Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, dalam situasi kini, semua pihak harus berlapang dada dan bersama-sama memikirkan kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Politik hari ini harus dilihat dari sudut semasa, jangan terikut-ikut kerangka politik lama dahulu yang akan membuatkan kita sukar untuk bergerak kerana apa yang penting kini rakyat didahulukan.

“Kita perlu bersifat terbuka dan isu siapa tumpang (menumpang) dan dominan tidak seharusnya timbul dalam membentuk gabungan parti Melayu ini…gabungan ini harus diberi peluang untuk berkhidmat,” katanya pada sidang media selepas program Indera Mahkota Prihatin, di sini, hari ini.

Semalam Presiden PPBM Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, adalah baik jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah kecil, sekali gus dapat mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.

Saifuddin, yang juga menteri komunikasi dan multimedia, menjelaskan pindaan perlembagaan PPBM yang membolehkan orang bukan Melayu dan Islam menjadi ahli bersekutu parti itu menunjukkan keterbukaan parti berkenaan.

“Kita mengalu-alukan mereka menyertai PPBM kerana kita masih menghormati dan mengiktiraf agama lain selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Islam sebagai agama Persekutuan manakala penganut agama lain bebas mengamalkan anutan masing-masing,” katanya.

Must Read

Related News