HomeNEWSTiada parti kekal dominan dalam 2 dekad ini, kata 2 pemimpin PPBM

Tiada parti kekal dominan dalam 2 dekad ini, kata 2 pemimpin PPBM

Seorang pemimpin PPBM mengakui Umno dan PAS mempunyai pengaruh kuat di pantai timur Semenanjung, tetapi bukannya di negeri lain, termasuk Sabah serta Sarawak, oleh itu mereka memerlukan PPBM.

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin PPBM bersetuju dengan kenyataan Saifuddin Abdullah, tidak timbul isu parti mana lebih dominan jika PPBM, PAS dan Umno bergabung untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 kerana menurut mereka, tiada parti dominan dalam 2 dekad ini.

Ketua Pemuda PPBM, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tiada parti yang kekal dominan di negara ini sejak 2 dekad lalu, selepas perpecahan dalam Umno yang menyaksikan penubuhan PKR oleh Anwar Ibrahim yang dipecat daripada parti Melayu itu pada 1998.

Katanya, keadaan semakin jelas selepas PRU14 apabila setiap parti, khususnya parti bertunjangkan orang Melayu kerana mempunyai kekuatan dan penyokong sendiri.

“Oleh kerana perubahan demografi politik di kalangan orang Melayu, khususnya anak muda berpendidikan, parti politik bersifat dominan semakin kurang relevan.

“Walaupun tidak dominan, semua parti berasaskan Melayu ada kekuatan tersendiri sebab orang Melayu hari ini, khususnya generasi muda, mereka tidak dibayangi perjuangan orang Melayu lampau. Orang Melayu hari ini, khususnya anak muda semakin bijak, mereka mampu menilai,” katanya kepada FMT.

Walaupun mempunyai kekuatan tersendiri, beliau bagaimanapun berkata, tiada parti politik boleh menubuhkan kerajaan secara bersendirian, tidak kira parti pembangkang mahupun pemerintah berdasarkan suasana politik hari ini.

Ahad lalu, Saifuddin yang juga setiausaha PPBM Pahang dilaporkan berkata, parti politik perlu bersifat terbuka dan tidak patut timbul isu parti dominan dalam gabungan parti Melayu.

Katanya, dalam situasi semasa, semua pihak perlu berlapang dada dan bersama memikirkan kepentingan serta kebajikan rakyat.

Susulan itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin dilaporkan berkata, mereka yang mendakwa tidak perlu mempunyai parti Melayu dominan “gagal memahami hakikat politik nasional”, tidak sensitif dan malas berusaha untuk mengangkat orang Melayu.

Beliau berkata, kekuatan Umno dan PAS sebenarnya sudah mencukupi untuk menjadi dominan.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Razali Idris berkata, parti dominan tidak akan berkuasa pada masa depan dan contoh terbaik ialah Pilihan Raya Negeri di Sabah pada 26 Sept lalu.

“Keputusan PRN Sabah menunjukkan tiada sebuah parti pun layak memerintah bersendirian dan akhirnya Gabungan Rakyat Sabah berjaya membentuk kerajaan negeri.”

Ketua PPBM Terengganu itu mengakui pengaruh Umno dan PAS kuat di pantai timur Semenanjung Malaysia, tetapi bukannya di negeri lain, termasuk Sabah serta Sarawak, oleh itu 2 parti itu memerlukan PPBM.

“PPBM ada kekuatan tersendiri dan tidak boleh dinafikan mana-mana parti politik. Rakyat hari ini tidak lagi takut untuk ubah kerajaan dan majoriti pengundi masih tidak berparti. Justeru, keahlian ramai masih tidak menjamin kemenangan secara total.”

Beliau berkata, penting untuk Umno, PAS dan PPBM memperkukuhkan hubungan sesama mereka, bukannya mendabik dada.

“Sekiranya ada yang mendabik dada, tidak mustahil gabungan kerajaan sekarang berpecah, maka kebarangkalian DAP dan Pakatan Harapan mempunyai peluang untuk memerintah.”

Must Read

Related News