HomeNEWS‘Terlalu spekulatif’ untuk kata Covid tak berasal dari China, kata WHO

‘Terlalu spekulatif’ untuk kata Covid tak berasal dari China, kata WHO

Pekerja beratur untuk menjalani ujian swab Covid-19 di Wuhan pada Mei. (Gambar AP)

GENEVA: Pakar kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Jumaat, “terlalu spekulatif” bagi badan itu untuk berkata virus korona tidak berasal dari China.

Virus itu kali pertama dikesan di pasar basah republik berkenaan pada Disember tahun lalu.

China menggunakan media untuk menyebar naratif yang virus itu muncul dari luar negara sebelum ia dikesan di Wuhan, dengan menyebut kemunculan virus korona pada bungkusan makanan sejuk beku yang diimport dan kajian saintifik yang mendakwa ia menular di Eropah tahun lalu.

“Saya rasa ‘terlalu spekulatif’ bagi kami untuk mengatakan wabak itu tidak berasal dari China,” kata Mike Ryan pada taklimat maya di Geneva.

“Daripada perspektif kesihatan awam, jelas anda akan memulakan siasatan dari mana kes jangkitan manusia kali pertama muncul,” katanya sambil menambah bukti mungkin akan menjurus ke arah lain.

Beliau mengulangi hasrat WHO untuk menghantar penyelidik ke pasar basah Wuhan bagi menyiasat asal usul virus itu lebih lanjut.

WHO dituduh oleh pentadbiran Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump sebagai “berpaksikan China” namun pertubuhan itu menolak dakwaan berkenaan.

Must Read

Related News