HomeNEWSTamat PKPB, fokus pada langkah pencegahan Covid-19, kata pakar

Tamat PKPB, fokus pada langkah pencegahan Covid-19, kata pakar

PKPB di beberapa negeri mungkin berlanjutan sehingga hujung tahun sekiranya kes Covid-19 masih tinggi.

PETALING JAYA: Pakar perubatan dan ekonomi memberi amaran terhadap lanjutan pelbagai peringkat perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk jangka yang panjang dengan berkata, impak negatif mengatasi manfaatnya.

Ini susulan pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Redzuan Yusof pada 23 Nov bahawa pelaksanaan PKP bersyarat di beberapa negeri mungkin dilanjutkan sehingga akhir tahun ini sekiranya kes Covid-19 kekal tinggi.

Redzuan berkata, langkah pencegahan telah diambil bagi mengurangkan bilangan kes ke tahap minimum, dan jika boleh ke peringkat kosong.

Bercakap kepada FMT, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye membantah keras langkah berkenaan dengan berkata lanjutan PKPB sehingga akhir tahun akan memberi impak buruk kepada ekonomi.

Dr Lee Boon Chye.

Lee menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengkaji semula langkah sedia ada kerana ia gagal mengurangkan jangkitan dan kluster baru wabak itu.

“Pembentukan kluster baru menunjukkan bahawa keupayaan untuk menjalankan pengesanan kontak, ujian dan pengasingan ketinggalan di belakang kemunculan kes baru.”

Beliau berkata, Kementeriak Kesihatan perlu menyemak semula langkah berkenaan bagi menghalang pembentukan kluster baru.

“(Kementerian Kesihatan) mesti meningkatkan keupayaan untuk menjalankan penjejakan kontak, ujian saringan dan pengasingan. Apabila semua kontak rapat diasingkan, kes dan kluster baru boleh dielakkan.

“Ia boleh dilakukan dengan membentuk satu pasukan khas yang diketuai pegawai kesihatan awam untuk menjejak kontak dengan bantuan aplikasi MySejahtera.

“Kementerian Kesihatan perlu mengerah sekurang-kurangnya 1,500 hingga 2,000 pekerja serta merta bagi membantu usaha menjejak kontak,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengingatkan orang ramai bahawa pencegahan penyebaran Covid-19 merupakan tanggungjawab bersama dan setiap individu mesti memainkan tanggungjawab masing-masing.

“Faktor paling penting ialah kepatuhan masyarakat kepada prosedur operasi standard (SOP).

Carmelo Ferlito.

“Jika kepatuhan penuh dicapai, keluk dapat diratakan dan tiada keperluan untuk melaksanakan PKPB,” kata Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy kepada FMT dengan menambah bahawa keputusan untuk mengenakan PKPB harus disokong dengan bukti saintifik yang mencukupi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia, Carmelo Ferlito menganggarkan bahawa Malaysia akan mengalami kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir rata sekiranya kerajaan memutuskan untuk melanjutkan sekatan pergerakan, selain isu ketidakstabilan politik dan penutupan sempadan.

“Pada tahun ini, sekitar 32,000 PKS (perusahaan kecil dan sederhana) ditutup. Selain itu, kita juga berdepan kesan perubatan negatif, seperti penangguhan dalam saringan kanser dan kemurungan,” katanya.

Must Read

Related News