HomePoliticsRCI langkah terbaik siasat isu kartel daging, kata menteri

RCI langkah terbaik siasat isu kartel daging, kata menteri

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal langkah terbaik bagi menyiasat isu itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau menerusi kenyataan berkata, usaha dan hasrat murni itu dipersetujui pihak terlibat dan dilihat penting demi kemaslahatan umat Islam.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid di Dewan Negara mengumumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Rosol dilaporkan berkata, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Zulkifli menyambut baik hasrat KPDNHEP menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan serta isu berkaitan halal yang turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Katanya, beliau dan JAKIM prihatin dan meletakkan kecaknaan penuh terhadap isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram, termasuk mengadakan beberapa lawatan ke syarikat pemain industri yang terlibat dalam pengimportan dan penyembelihan daging.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk daging yang dihasilkan di dalam negara di tahap terbaik.

“Bagi produk daging import, JAKIM akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar negara mematuhi semua standard ditetapkan.”

Must Read

Related News