HomeNEWSProjek Melaka Gateway akan diteruskan, kata KM Melaka

Projek Melaka Gateway akan diteruskan, kata KM Melaka

Projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion melibatkan tebus guna tiga buah pulau, pembinaan pelabuhan laut dalam dan terminal kapal pesiaran terbesar di Asia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion akan teruskan, kata kerajaan negeri hari ini.

Pengumuman itu dibuat dua minggu selepas kontrak pemaju utama projek mega berkenaan, KAJ Development Sdn Bhd ditamatkan.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Ketua Menteri Sulaiman Md Ali mengumumkan perkara itu dalam satu acara pelancongan negeri, dengan berkata, pihaknya tidak mahu projek seluas 246.4 hektar itu diabaikan.

“Pembangunan akan diteruskan kerana pelbagai model perniagaan kita ada, cuma ada perkara teknikal yang kita perbetulkan sedikit, apatah lagi ia terletak di bawah koridor ekonomi baru Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ),” katanya.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penamatan perjanjian penambakan laut bersama syarikat pemaju itu yang dikeluarkan sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berkata, sebarang pertanyaan mengenai isu berkenaan boleh diajukan kepada peguam yang dilantik.

Pada 21 Nov lalu, KAJ Development menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung arahan membatalkan projek mega tersebut pada 16 Nov lalu.

Ketua pegawai eksekutif dan pengasas KAJD, Michelle Ong berkata, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) menyerahkan surat penamatan bagi perjanjian tebus guna tanah, namun tidak memberikan sebarang sebab kukuh.

Beliau mendakwa, sebanyak RM700 juta sudah dibelanjakan untuk projek berkenaan setakat ini dengan 40% kerja-kerja projek sudah dijalankan, termasuk penyelidikan tanah.

KAJ Development adalah pemaju utama dan memegang konsesi untuk menebus tanah dan membangunkan tiga pulau seluas 246.4 hektar merangkumi pelabuhan laut dalam dan terminal kapal pesiaran terbesar di Asia.

Pada 2018, projek terminal pelabuhan dan kapal pesiaran syarikat itu dibatalkan oleh kerajaan persekutuan, tetapi keputusan itu dibatalkan pada Nov tahun lalu setelah rayuan dibuat oleh syarikat itu.

Terminal kapal pesiaran itu sepatutnya siap pada Sept tahun ini.

Terdahulu, Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat berkenaan ditamatkan perjanjian tersebut yang bermula sejak 4 Okt 2017 kerana didapati gagal menyiapkan projek.

Satu notis penamatan perjanjian dikemukakan kepada pihak syarikat terbabit, selain mereka dikehendaki menyerahkan tapak projek berkuat kuasa pada tarikh notis penamatan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Must Read

Related News