HomeNEWSProjek lebuh raya Kelantan siap pada 2025, kata Mustapa

Projek lebuh raya Kelantan siap pada 2025, kata Mustapa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, dua projek lebuh raya, iaitu CSR dan KBKK, dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan, terutamanya ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan.

KOTA BHARU: Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) dijangka siap sepenuhnya pada 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sehingga kini 21% daripada keseluruhan jajaran CSR siap dibina dan boleh digunakan orang ramai, yang meliputi jalan sepanjang 62km dari Merapoh hingga ke Kampung Seberang Jelai di Pahang.

“Sebahagian jajaran KBKK yang siap dan boleh digunakan pula adalah dari Pasir Hor ke Ketereh di Kelantan melibatkan laluan sepanjang 13.85km, iaitu 20% daripada keseluruhan projek ini.

“Apabila keseluruhan jajaran CSR dan KBKK siap kelak, ia dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan, terutamanya ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan, selain membantu mengurangkan kadar kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat bersama dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Hanifa Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Azami Mohd Nor.

Mustapa berkata, projek CSR melibatkan pembinaan lebuh raya sepanjang 295.7 km dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan, manakala KBKK melibatkan laluan sejauh 67.6 km dengan kos keseluruhan sebanyak RM9.5 bilion.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua projek dalam Belanjawan 2021 itu hanya dapat dilaksanakan jika mendapat kelulusan dalam perbincangan peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Ditanya mengenai projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), dekat sini, Mustapa berkata ketika ini, projek itu masih dalam proses pemilihan kontraktor yang dijangka mengambil masa sebulan sebelum kerja-kerja dapat dimulakan.

“Kita menjangkakan projek berkenaan dapat dimulakan awal tahun hadapan dan mungkin mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk siap,” katanya.

Must Read

Related News