HomeNEWSProgram saringan Covid-19 pekerja asing di zon merah bermula 1 Dis

Program saringan Covid-19 pekerja asing di zon merah bermula 1 Dis

Kementerian Sumber Manusia berkata, program saringan Covid-19 akan dimulakan dengan pekerja asing di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa depan.

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan program saringan Covid-19 bagi pekerja asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula Selasa 1 Dis depan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata, bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan Covid-19 ini akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.

“Ujian saringan ini akan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan kit ujian akan dibiayai oleh Perkeso.

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan ini akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada daerah yang berisiko tinggi.

Ia akan dimulakan dengan pekerja asing di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa depan.

“Lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan bermula pada 9 Dis depan, manakala seluruh negeri Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bermula pada 16 Dis,” katanya.

Saravanan berkata, program saringan ini merupakan kolaborasi di antara agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh, yang meliputi aspek saringan, pemantauan dan pengurusan kes selepas ujian dijalankan.

Beliau berkata, program ini akan dikuatkuasakan oleh KSM di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.

Maklumat lanjut berkenaan program ini akan dikemaskini di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my).

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel [email protected] atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089, katanya.

Must Read

Related News