P Pinang saran MKN hanya laksana PKPB di lokasi bersasar

0
1448
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang mengharapkan keputusan yang baik dapat dilaksanakan bagi mengimbangi aspek kesihatan awam serta pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengesyorkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menimbangkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hanya di lokasi bersasar di negeri ini, selepas tamatnya PKPB selama 28 hari yang bermula 8 Nov lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, cadangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) yang bersidang pagi tadi.

“Mesyuarat membuat ketetapan supaya MKN mempertimbangkan pelaksanaan PKPB di Pulau Pinang hanya di lokasi bersasar iaitu mukim atau lokaliti yang terkesan sahaja.

“Justeru, Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) dimohon untuk membawa cadangan ini kepada mesyuarat Sidang Khas MKN yang dijadualkan berlangsung esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pulau Pinang mengharapkan supaya keputusan yang baik dapat dilaksanakan bagi mengimbangi aspek kesihatan awam serta pemulihan ekonomi yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Chow berkata, sehingga semalam, terdapat 14 kluster aktif di Pulau Pinang iaitu kluster Penjara Reman, Penjara Seberang Perai, Bayan, Tembaga, Permatang, Intan, Rengas, Rajawali, Beringin, Damar Laut, Assumption, Bayam Indah, Summer dan kluster Seri Pasir.

“Setiap pegawai daerah juga diminta mengenal pasti lokasi mengikut kesesuaian diperlukan JKNPP bagi kesiapsiagaan fasiliti kuarantin dan rawatan susulan aktiviti saringan Covid-19 untuk menampung lonjakan kes sekiranya ia berlaku,” katanya.

Beliau berkata, Mukim 12 di Daerah Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut sehingga semalam masih berada dalam zon merah manakala Mukim George Town, Mukim 6, Daerah Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara dalam zon jingga.

Selain itu, Chow berkata Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang telah memaklumkan bahawa saringan terhadap pekerja-pekerja warga asing di bawah program saringan khas Covid-19 akan dilaksanakan bermula 9 Dis bagi kawasan zon merah manakala 16 Dis bagi lain-lain kawasan.

“Justeru, majikan dimohon untuk merujuk kepada portal rasmi PERKESO berkaitan program saringan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai prosedur pelaksanaan serta klinik panel dilantik oleh PERKESO dan Kementerian Kesihatan,” katanya.