HomeNEWSNUBE gesa bank contohi Putrajaya beri bayaran ‘one-off’ pada ‘frontliners’

NUBE gesa bank contohi Putrajaya beri bayaran ‘one-off’ pada ‘frontliners’

Beberapa ibu pejabat dan cawangan bank dipaksa tutup sementara akibat pekerja dijangkiti Covid-19 semasa bertugas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) mahu industri perbankan menunjukkan penghargaan kepada pekerja bank yang banyak berkorban menjadi petugas barisan depan sejak permulaan pandemik Covid-19.

Memetik pengiktirafan kerajaan terhadap semua petugas barisan depannya, NUBE menggesa bank memberikan bayaran “one-off” kepada pekerja, yang kebanyakannya berasal daripada kumpulan B40 dan M40.

“Semasa seluruh negara di bawah perintah kawalan pergerakan, sejumlah pekerja bank setia turun padang menyediakan perkhidmatan bank kerana dianggap sebagai perkhidmatan penting.

“NUBE merasakan bank-bank khususnya tidak boleh menolak atau meremehkan peranan pekerjanya dalam memastikan cawangan tetap terbuka, sementara sebahagian besar negara berada dalam satu bentuk penguncian atau yang lain,” kata Setiausaha Agungnya, J Solomon dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon.

Beliau berkata, bank mampu memberikan bayaran sekali itu kepada pekerja mereka.

“NUBE merasakan bank mampu melakukannya dengan mudah kerana mereka mencatat keuntungan amat sihat setakat ini.

“Maybank misalnya mencatat keuntungan RM942 juta untuk suku ke-2 2020 (April-Jun), keuntungan CIMB adalah RM277 juta pada tempoh sama, keuntungan RHB RM400 juta dan Public Bank adalah RM1 bilion.

“Keuntungan ini dicatatkan sementara moratorium pembayaran pinjaman 6 bulan untuk individu dan perniagaan berkuat kuasa.”

Solomon turut menggesa Putrajaya menunjukkan penghargaan mereka kepada petugas barisan depan dalam sektor swasta.

“Apa yang tidak betul adalah untuk kerajaan dan sektor swasta, terutama pihak bank tidak menunjukkan rasa penghargaan sama kepada ‘frontliners’ lain, seperti pekerja bank, pekerja penghantaran dan ramai wira dalam sektor ekonomi lain yang menyediakan perkhidmatan penting semasa negara di bawah PKP atau PKPB.

“Memang, pemerintah akan menegaskan tanggungjawabnya hanya memberikan imbuhan itu kepada kakitangan awam. Namun, kerajaan harus akur ia adalah pihak yang mengarahkan bank untuk terus beroperasi sewaktu PKP, walaupun langkah tersebut membahayakan kesihatan pekerja bank.”

Dalam pengumuman Belanjawan 2021 baru-baru ini, petugas barisan depan Kementerian Kesihatan dijanjikan bantuan sekaligus berjumlah RM300.

Khamis lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengumumkan bayaran itu diperlukan kepada petugas barisan depan lain seperti polis, tentera, Rela dan mereka di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Solomon berkata, meskipun SOP ketat dilaksanakan, segelintir pekerja bank masih dijangkiti Covid-19 semasa menjalankan tugas.

“Mereka terpaksa mematuhi SOP ketat sebelum, semasa dan selepas bekerja untuk memastikan keselamatan pelanggan dan diri mereka sendiri.

“Meskipun langkah penjagaan itu, segelintir pekerja bank dijangkiti Covid-19 semasa menjalankan tugas. Rakan-rakan mereka terpaksa menjalani ujian swab dan mengalami tekanan dan kegelisahan menunggu keputusan.”

Katanya, risiko jangkitan daripada pelanggan terus menjadi ancaman nyata bagi petugas barisan depan dalam sektor perbankan,

Beliau berkata, pengiktirafan dalam bentuk ganjaran RM300 seperti mana dinikmati petugas barisan depan kerajaan perlu dinikmati pekerja bank sebagai tanda pengurusan bank tidak melupakan jasa mereka.

Must Read

Related News