HomePoliticsLagi gangguan air di Lembah Klang, 2 kes paip pecah dalam sehari

Lagi gangguan air di Lembah Klang, 2 kes paip pecah dalam sehari

Kerja pembaikan ke atas paip pecah di Persiaran Tengku Ampuan di Seksyen 15, Shah Alam hari ini. (Gambar Facebok Air Selangor)

PETALING JAYA: Sejumlah 43 kawasan di daerah Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak dijadualkan susulan paip pecah.

Dalam satu kenyataan malam ini, Air Selangor berkata, paip itu rosak akibat tanah runtuh di Damansara Utama.

Antara kawasan terjejas termasuk Taman Tun Dr Ismail, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Mutiara Damansara, Ara Damansara, Damansara Perdana dan Kota Damansara.

Ini kejadian kedua paip pecah pada hari ini.

Terdahulu, Air Selangor mengumumkan gangguan bekalan air ke 58 kawasan di Klang dan Shah Alam, serta 72 kawasan di daerah Petaling mulai 1 tengah hari tadi kerana paip utama pecah.

Kejadian paip pecah itu dikesan di Persiaran Tengku Ampuan di Seksyen 15, Shah Alam.

Penduduk Lembah Klang mengeluh kerana kekerapan gangguan bekalan air akibat paip pecah. Tiga insiden dilaporkan sejak empat bulan lalu.

Pada 20 Dis lalu, paip pecah di Taman Andalas, Klang mengakibatkan gangguan bekalan air ke beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam.

Pada 16 Okt lalu, 59 kawasan di Klang, Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air selepas paip pecah di kawasan pembinaan Seksyen U11 Shah Alam.

Pada 15 Sept lalu, sembilan kawasan di Kuala Langat dan Sepang menghadapi gangguan bekalan air kerana paip pecah berhampiran Bandar Sri Ehsan dan masjid KLIA.

Kawasan utama di Lembah Klang juga sering mengalami bekalan air terputus akibat pencemaran air sungai yang menyebabkan loji rawatan terpaksa ditutup sementara.

Must Read

Related News