Kalau untuk cari persefahaman kenapa tidak? kata mufti P Pinang mengenai majlis antara agama

0
407
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, setiap kepercayaan di Malaysia perlu bertoleransi supaya dapat memenuhi keperluan dalam setiap agama dianuti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyokong penglibatan tokoh agama atau organisasi Islam dalam majlis antara agama jika matlamatnya jelas untuk mencari keharmonian dan persefahaman bersama.

Katanya, tiada masalah jika umat Islam terlibat dalam majlis itu, namun harus mempunyai keperluan dalam setiap agama tersebut.

“Saya setuju kalau ada wakil masyarakat Islam, cuma perlu jelas apa matlamatnya supaya dapat mencari persefahaman dengan semua penganut agama di Malaysia untuk mencapai keharmonian bersama.

“Memandangkan wujud salah faham mengenai agama Islam sebagai contoh IS dan Islamophobia, lebih baik ada wakil daripada masyarakat Islam untuk menjelaskan pandangan negatif terhadap Islam,” katanya ketika dihubungi FMT.

Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Hermen Shastri yang mendakwa, tiada penglibatan masyarakat Islam dalam kumpulan antara agama.

Hermes dalam kenyataan 2 Dis lalu berkata, penubuhan suatu “majlis yang benar-benar antara agama” terhalang oleh mentaliti “majoriti lawan minoriti”.

Bagaimanapun, Wan Salim meluahkan kebimbangan jika terdapat unsur pluralisme agama dalam aktiviti majlis itu, yang cenderung membawa idea semua agama adalah benar.

“Jika itu berlaku maka berkemungkinan wujud percanggahan yang tidak boleh diterima oleh beberapa agama.

“Pluralisme agama itu difahami sebagai satu idea cenderung ke arah semua agama itu benar, saya ingat bukan agama Islam sahaja tidak boleh terima sebaliknya agama lain juga tidak terima,” katanya.

Beliau berkata, setiap kepercayaan di Malaysia perlu mencari toleransi beragama supaya dapat memenuhi keperluan dalam setiap agama dianuti.