HomeNEWSJangan terperangkap provokasi Pemuda Amanah, kata Pemuda PKR Sabah

Jangan terperangkap provokasi Pemuda Amanah, kata Pemuda PKR Sabah

Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimi berkata, segelintir ahli Amanah tidak faham keputusan tidak menyokong undi belah bahagi di Parlimen baru-baru ini adalah strategi jangka panjang memandangkan situasi politik negara berubah setiap jam. (Gambar PKR)

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimi mengingatkan anggotanya supaya tidak terperangkap dengan provokasi yang cuba ditimbulkan segelintir ahli Pemuda Amanah.

Katanya, ia berikutan rasa tidak puas hati golongan itu apabila hanya enam daripada 11 Ahli Parlimen parti itu berdiri untuk menyokong usul undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Khamis lalu.

”Pelbagai pihak telah menerangkan berkenaan strategi dan mengapa keputusan berkenaan diambil, namun sejak insiden itu, timbul provokasi sehingga ada yang meminta Amanah menimbangkan semula kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH).

”Kita melihat segelintir daripada mereka sudah tidak mengendahkan arahan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang meminta ahlinya memperkukuhkan hubungan bersama rakan PH daripada PKR dan DAP.

“Malah timbalan presidennya, Salahuddin Ayub terpaksa memohon maaf selepas diasak ahli sendiri berbanding memberi penjelasan mengapa tindakan sedemikian diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razeef berkata, segelintir ahli Amanah tidak faham keputusan yang diambil adalah strategi jangka panjang memandangkan situasi politik negara berubah setiap jam.

”Mereka yang berada dalam arena politik sepatutnya faham akan strategi sebelum mengambil sebarang langkah agar tidak tersungkur jika kesilapan berlaku.

Terbaru hari ini, akar umbi Amanah membidas Presiden PKR Anwar Ibrahim atas keputusan saat akhirnya tidak menyokong usul undi belah bahagi yang dibawa oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar di Dewan Rakyat Khamis lepas.

Dalam kenyataan bersama 55 pimpinan akar umbi parti itu berkata, tindakan sebelah pihak ketua pembangkang itu tidak menghormati keputusan musyawarah dan majoriti yang dipersetujui sebelum itu.

“Tindakan ini mencalarkan reputasi PH selaku kerajaan yang diundi oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14,” kata kenyataan itu.

Kumpulan itu menegaskan bahawa pimpinan Amanah serta PH wajib berpegang kepada prinsip serta disiplin berorganisasi dan keputusan mesyuarat.

Razeef berkata, beberapa kenyataan provokatif oleh pemimpin pemuda dan wanita muda Amanah dinafikan sendiri oleh pemimpin parti berkenaan dengan mendakwa ia hanya pandangan peribadi serta tidak mewakili sayap berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana Amanah masih berada di landasan tepat bersama PH dengan menolak beberapa kenyataan yang mengundang perpecahan.

”Pimpinan Pemuda PKR pula sama ada di peringkat pusat, negeri, cabang mahupun ranting perlu terus memberi penerangan kepada akar umbi berhubung keputusan yang dibuat presiden parti yang juga ketua pembangkang di Parlimen,” katanya.

Must Read

Related News