HomeNEWSJangan halang pertumbuhan Pulau Pinang, Guan Eng beritahu Tengku Zafrul

Jangan halang pertumbuhan Pulau Pinang, Guan Eng beritahu Tengku Zafrul

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berharap kerajaan akan menimbangkan semula keputusan tidak memberi jaminan kepada pinjaman ADB bernilai RM2 bilion berdasarkan rekod pencapaian Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membidas menteri kewangan kerana membatalkan jaminan kerajaan persekutuan ke atas pinjaman Bank Pembangunan Asia (ADB) sebanyak RM2 bilion kepada Pulau Pinang dengan berkata, negeri itu mempunyai rekod cemerlang dalam pengurusan hutang seperti disebut setiap tahun oleh ketua audit negara.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak harus bermain politik, sebaliknya menerima kenyataan bahawa pengurusan kewangan negeri Pulau Pinang merupakan yang terbaik sejak beberapa tahun lepas berdasarkan dapatan ketua audit negara.

Beliau berkata, kuantum hutang Pulau Pinang sebanyak RM57.83 juta pada 2018 adalah paling rendah berbanding negeri lain, dengan aset bernilai hampir RM2 bilion.

Justeru, bekas menteri kewangan itu juga berkata, beliau tertanya-tanya kenapa Putrajaya tiba-tiba menarik diri daripada menjamin pinjaman sebanyak RM2.04 bilion (USD500 juta) untuk membiayai sebahagian daripada projek LRT di negeri itu bernilai RM9.5 bilion.

“Projek LRT itu sangat diperlukan bagi mengatasi segera kesesakan jalan raya yang akan memberi kesan ke atas pembangunan pesat Pulau Pinang pada masa depan untuk muncul sebagai sebuah negeri maju.”

Pada Jumaat, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak akan menjamin pinjaman ADB itu kerana ia akan menambah komitmen operasi dan perbelanjaan pembangunan Putrajaya.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermain “politik balas dendan dan iri hati” dengan menghukum negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH).

“Jika ADB bersedia memberikan pinjaman itu, maka ia dibuat berdasarkan kemampuan Pulau Pinang untuk membayar balik.

“Dasar balas dendam ini jelas kerana dari sudut pandang kewangan, tidak ada sebab kenapa kerajaan tidak boleh meluluskan jaminan itu berdasarkan rekod pencapaian Pulau Pinang,” katanya.

Setiausaha agung DAP itu berkata, ADB akan meluluskan pinjaman untuk sesuatu projek jika maklumat penilaian pemohon membuktikan peminjam mampu membayar balik hutang berkenaan, selain menambah bahawa rekod pencapaian Pulau Pinang jelas menunjukkan hakikat itu.

Lim juga mempersoalkan kenapa Tengku Zafrul meluluskan pinjaman langsung sebanyak RM1.5 bilion kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pianag (PDC) milik kerajaan negeri pada 2018 sewaktu beliau merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) CIMB, tetapi hari ini menarik balik jaminan ke atas pinjaman RM2 bilion.

“Sehingga hari ini, PDC tidak berdepan masalah untuk membayar balik pinjaman RM1.5 bilion itu secara ansuran kepada CIMB,” katanya.

“Diharapkan kerajaan akan menimbangkan semula keputusan itu berdasarkan rekod pencapaian Pulau Pinang.”

Beliau berkata, Tengku Zafrul harus tahu bahawa dana yang berpunca daripada badan antarabangsa seperti ADB akan diurus, ditadbir dan dipantau secara profesional.

Projek LRT pertama sepanjang 22km di negeri itu dijangka melalui 19 stesen dengan menghubungkan pusat bandar raya George Town dan Bayan Lepas di selatan.

Must Read

Related News