HomePoliticsJAKIM sedia pelan tindakan atasi isu halal daging import

JAKIM sedia pelan tindakan atasi isu halal daging import

JAKIM berkata, lawatan ke rumah penyembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan bagi memastikan isu daging haram tidak berterusan.

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan pelan tindakan khusus untuk menangani isu daging seludup tidak berlogo dan diiktiraf bagi memastikan kegiatan itu tidak berlaku di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) dan Jabatan Kastam (JKDM) pada 5 Jan ini bagi menjayakan pelan berkenaan.

Katanya, fokus perbincangan bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing, langkah yang perlu diambil bagi menangani isu ini serta pelan tindakan bersepadu berhubung pengimportan dan produk daging.

Beliau berkata, pelan tindakan itu akan turut menyentuh isu atau masalah dihadapi pengimport dan pengedar, serta memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi SOP pengimportan dan pengedaran.

“Selain itu, perbincangan meja bulat juga akan diadakan antara pengimport dan pengedar daging serta produk daging, dengan KPDNHEP, MAQIS dan JKDM pada 11 Jan,” katanya dalam kenyataan.

“JAKIM juga menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim logistik (pergudangan) dan mensyaratkan pemegang sijil mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan).”

Menerusi pelan tindakan itu juga, Aziz berkata, JAKIM akan mempromosikan Badan Pensijilan dan Logo Halal Luar Negara yang diiktirafnya, dengan 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 negara diiktiraf setakat ini.

“Dengan ini, pengguna boleh mengenal pasti logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran dan pengimport mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport ke Malaysia bagi mengelak kerugian dan keraguan.”

Sementara itu, beliau berkata, lawatan ke rumah penyembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan bagi memastikan isu daging haram tidak berterusan.

”SOP terbaru dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari,” katanya sambil menambah pihaknya berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP.

Must Read

Related News