HomeNEWSHospital Kulim dilanda banjir kilat selepas hujan lebat

Hospital Kulim dilanda banjir kilat selepas hujan lebat

Hujan lebat selama dua jam petang tadi menyebabkan kawasan sekitar Hospital Kulim, termasuk khemah saringan Covid-19 dinaiki air.

ALOR SETAR: Hujan lebat selama dua jam mulai 4 petang tadi menyebabkan kawasan sekitar Hospital Kulim, termasuk yang menempatkan khemah saringan kecemasan dan kawasan saringan Covid-19 dilanda banjir kilat.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Fikri Ujang, bagaimanapun berkata, keadaan banjir pulih pada jam 6 petang tadi dan ketika ini kerja pembersihan sedang dijalankan.

“Kawasan yang terlibat adalah kawasan khemah sementara untuk saringan kecemasan dan saringan Covid-19.

“Kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan dan selepas pembersihan dilaksanakan, kawasan berkenaan boleh digunakan semula dan kita tiada masalah untuk menerima pesakit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Dr Mohd Hayati Othman berkata, banjir yang berlaku di kawasan Hospital Kulim petang tadi disebabkan oleh masalah perparitan.

Menurutnya, hujan lebat menyebabkan air dari kawasan tempat letak kenderaan yang berada di lokasi lebih tinggi melimpah ke kawasan khemah sementara berhampiran bangunan hospital berkenaan.

“Sebelum ini, pihak Hospital Kulim sudah memohon untuk membesarkan longkang di tempat letak kereta berkenaan.

“Saya juga sudah bangkitkan perkara itu kepada pihak atasan dan sedang menunggu tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak empat mukim di daerah Kulim dilanda banjir.

“Beberapa penduduk dipindahkan melibatkan Mukim Sungai Ular, Mukim Padang Meiha, Mukim Padang Cina dan Mukim Sungai Seluang, namun belum ada pusat pemindahan yang dibuka.

“Ketika ini kita masih membantu penduduk dan sedang mengumpul maklumat,” katanya.

Must Read

Related News