
KOTA KINABALU: Penganalisis politik berkata, penubuhan Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menguatkan lagi gabungan itu, tetapi faktor Umno dijangka melambatkan proses penubuhannya.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini belum menyatakan hasrat menyertai Perikatan Nasional (PN) juga akan merencatkan usaha penubuhan Majlis Presiden GRS.
“Saya percaya polemik yang melambatkan proses penubuhan Majlis Presiden GRS adalah isu Umno dan bukannya parti-parti dalam PN, manakala PBS sekadar PN Plus.
“Pada masa ini, saya tidak nampak BN akan menyertai PN, meskipun ahli Parlimen dan Adun BN bekerjasama dengan PPBM untuk membentuk kerajaan persekutuan serta beberapa kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.
Beliau bagaimanapun berkata, ia bukan isu besar kerana mereka boleh membentuk kerjasama di peringkat persekutuan mahupun negeri untuk melicinkan perjalanan dan penentuan hala tuju masa depan.
“Kita jangan lupa PPBM pada zaman kerajaan PH (Pakatan Harapan) merupakan sebahagian daripada parti pemerintah di peringkat kerajaan persekutuan, tetapi PPBM di Sabah adalah parti pembangkang dan kita lihat kerajaan Warisan Plus ketika itu tidak pernah memberi ruang kepada mereka untuk menyertai Kabinet kerajaan negeri mahupun apa-apa jawatan dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan) Sabah,” katanya kepada FMT.
Lee berkata demikian susulan kenyataan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin semalam yang berkata, Majlis Presiden GRS perlu ditubuhkan bagi menangani beberapa isu sensitif.
Kenyataan itu menyusul cadangan Perdana Menteri dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin untuk PN menubuhkan majlis presidennya.
“Sekiranya ia memberi manfaat dan menguatkan kita (GRS), kenapa tidak? Bagi saya majlis presiden perlu ada agar semua ketua parti boleh berbincang mengenai isu lebih mendalam yang tidak sesuai dibincangkan dalam kumpulan besar,” katanya kepada FMT.
Lee berkata, GRS pada dasarnya sudah wujud di Sabah, tetapi tiada struktur organisasi atau jawatankuasa yang jelas.
Katanya, pelantikan Adun Usukan, Salleh Said Keruak sebagai pengerusi kelab penyokong GRS ialah satu daripada petunjuk ke arah menubuhkan Majlis Presiden GRS.
“Isunya mungkin kita belum nampak lagi struktur organisasi atau jawatankuasa GRS yang jelas, maksud saya siapakah pengerusinya, timbalan, setiausaha, bendahari dan sebagainya. Ini berbeza dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang jelas strukturnya.”
Lee berkata, fungsi paling jelas yang perlu ada dalam majlis presiden ialah soal pembahagian jawatan atau peranan.
“Kita sedia maklum sebaik saja PRN selesai, isu siapakah ketua menteri Sabah timbul sehinggakan majlis angkat sumpah jawatan tertinggi negeri ini terpaksa ditangguhkan beberapa hari.
“Seterusnya ialah isu pengagihan jawatan dalam barisan Kabinet negeri dan kerajaan tempatan serta GLC. Ketika isu pengagihan jawatan dalam Kabinet sudah selesai, ada kalanya kita perlu lihat isu pengagihan jawatan di peringkat kerajaan tempatan yang belum selesai sepenuhnya.
“Isu ini meskipun bagi sesetengah pihak dianggap remeh, tetapi ia boleh jadi api dalam sekam yang boleh mencetuskan masalah besar kepada parti kerajaan memerintah pada bila-bila masa.”
Katanya, penubuhan Majlis Presiden GRS dilihat mampu mengelakkan pertandingan sesama sendiri, khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Tidak mustahil (elak pertembungan antara GRS) kerana kita sedar GRS ditubuhkan secara ‘ad-hoc’, iaitu pada hari penamaan calon PRN lalu atas dasar gabungan itu mempunyai lawan yang sama, iaitu Warisan Plus.
“Ketika itu, pertarungan sesama sendiri atau apa yang mereka (GRS) panggil sebagai ‘friendly match’ hasil daripada permuafakatan sesama mereka juga.
”Hasilnya kita lihat ada kerusi yang berjaya membawa kemenangan kepada mereka, tetapi yang menyebabkan kekalahan lebih banyak. Jadi, sebaik-baiknya pertarungan sesama sendiri harus dielakkan pada masa depan.”
Bagaimanapun, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berbeza pendapat dengan berkata, penubuhan Majlis Presiden GRS mampu mengeratkan parti dalam gabungan itu, tetapi ia dilihat belum mampu menyelesaikan perebutan kerusi sesama mereka.
“Hal ini kerana isu sebenar berpunca daripada akar umbi Umno yang kurang berpuas hati dengan PPBM di peringkat bawah dan Umno pula mahu mengekalkan kerusi Parlimen mereka.
“Selagi isu kerusi masih panas dan tiada kompromi, maka usaha menyatukan GRS dalam satu payung akan sukar.”