HomeNEWSDatuk tiri campak cucu dari tingkat 3 apartmen di Setapak ditahan

Datuk tiri campak cucu dari tingkat 3 apartmen di Setapak ditahan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek, seorang warga Nigeria berusia 42 tahun disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. (Gambar Facebook) 

KUALA LUMPUR: Seorang suspek lelaki warga Nigeria ditahan kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat 3, di sebuah apartment di Danau Kota, Setapak, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu, ditahan di rumahnya sejurus selepas kejadian kira-kira 8 pagi tadi.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku apabila suspek cuba merogol salah seorang anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.

“Mangsa (anak perempuan tiri suspek) ketika itu sedang tidur, namun perbuatan suspek dihalang oleh isteri dan tiga anak perempuan tiri suspek yang lain.

“Berang dengan kejadian itu, suspek mengamuk, memukul dan menghentak isteri dan empat anak tiri suspek yang berada di dalam rumah,” katanya hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, ekoran itu suspek memukul cucu tirinya sehingga lemah-longlai, sebelum mencampakkan cucunya ke luar tingkap di bilik utama sehingga jatuh.

Beliau berkata, isteri suspek berusia 49 tahun yang melihat kejadian itu, menjerit meminta tolong dan menyelamatkan diri bersama empat anaknya yang lain, dengan mendapatkan bantuan jiran serta pengawal keselamatan apartment itu.

“Suspek cuba melarikan diri dengan melompat keluar melalui tingkap sebelum mengalami kecederaan akibat impak melompat dari tingkat tiga dan ditahan orang awam dan pengawal keselamatan apartment itu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata suspek mengalami kecederaan di tangan dan beberapa bahagian anggota badan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Mayat kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi dibawa ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Must Read

Related News