HomeNEWSCukai keuntungan luar biasa beri isyarat salah kepada pelabur, kata menteri

Cukai keuntungan luar biasa beri isyarat salah kepada pelabur, kata menteri

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abd Aziz yakin KDNK Malaysia akan berkembang antara 6.5% hingga 7.5% pada 2021. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa kepada syarikat yang menjana wang adalah dasar yang tidak konsisten yang akan memberi petunjuk salah kepada pelabur dan akan menjejaskan kemasukan pelaburan ke negara ini, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sekiranya cukai itu dilaksanakan, ia akan membuat pelabur berfikir dua kali sebelum melabur di negara ini atau kemungkinan mereka memilih untuk melabur di negara jiran seperti Vietnam dan Singapura yang tidak mengenakan cukai keuntungan luar biasa.

“Beritahu saya negara mana di rantau ini yang melaksanakan cukai keuntungan luar biasa.

“Kamu boleh mengenakan cukai seperti itu, tetapi anda mungkin memberi isyarat yang salah, terutama untuk ekonomi terbuka seperti Malaysia,” katanya pada program ruang bicara bertajuk “Belanjawan 2021 Kemenangan Rakyat” di Bernama TV, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dasar harus untuk dirangka untuk tempoh jangka panjang dan tidak berdasarkan kepada keuntungan jangka pendek.

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mendesak kerajaan supaya mengenakan cukai keuntungan luar biasa ke atas pembuat sarung tangan kerana berpendapat ia mengaut keuntungan yang tinggi dalam persekitaran pandemik Covid-19.

Sementara itu, Tengku Zafrul meluahkan keyakinan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 akan berkembang antara 6.5% hingga 7.5% sama seperti unjuran kerajaan.

Katanya, jangkaan KDNK 2021 adalah berdasarkan kepada pelbagai andaian seperti peningkatan permintaan ekonomi dan juga vaksin Covid-19 yang diharapkan akan tersedia pada suku pertama 2021, ia akan memberi esan limpahan positif kepada Malaysia.

“Saya optimis bahawa KDNK untuk tahun 2021 akan berada dalam lingkungan 6.5% hingga 7.5% dan saya tidak sendirian..ini bukan unjuran saya, tetapi unjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

“Jangkaan kami adalah seiring seperti dilakukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Asian Development Bank dan agensi penarafan lain yang memberi unjuran antara enam hingga lapan peratus,” katanya.

Untuk mencapai sasaran pertumbuhan ditetapkan tahun depan, Tengku Zafrul berkata, perkara paling penting yang harus dilakukan adalah melaksanakan dasar dengan baik.

Mengenai unjuran KDNK untuk suku keempat 2020, Tengku Zafrul mengakui bahawa kesan buruk akan berlaku, terutama kepada sektor runcit dan pelancongan berikutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk Lembah Klang sejak pertengahan Okt.

Beliau berkat,a Kuala Lumpur dan Selangor menyumbang sekitar 40% daripada jumlah keseluruhan KDNK negara.

“Tetapi ia tidak akan seburuk perintah kawalan pergerakan (PKP) pada bulan Mac, kesan hariannya menelan belanja sekitar RM2.0 bilion hingga RM2.4 bilion, sementara semasa PKPB, kesan hariannya adalah sekitar RM300 juta kerana aktiviti ekonomi, pembuatan dan eksport masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Ekonomi negara merosot 17.1% pada suku kedua akibat PKP, tetapi meningkat kepada -2.7% pada suku ketiga 2020 ketika perniagaan dibuka semula secara berperingkat.

Ekonomi negara dijangka susut 4.5% pada tahun 2020.

Must Read

Related News