HomeNEWSBencana menanti jika sempadan tidak dibuka dalam 6 bulan, kata industri pelancongan

Bencana menanti jika sempadan tidak dibuka dalam 6 bulan, kata industri pelancongan

Lebih 50% pekerja dalam industri pelancongan hilang pekerjaan setakat ini.

PETALING JAYA: Lebih 70% pekerja dalam industri pelancongan akan hilang pekerjaan dan ribuan perniagaan berkaitan mungkin akan ditutup terus sekiranya sempadan Malaysia tidak dibuka semula dalam tempoh enam bulan akan datang, kata operator pelancongan.

Dengan keadaan wabak Covid-19 yang tidak dapat diramalkan, meskipun pemain industri tidak menggesa keputusan segera diambil, mereka meminta agensi berkaitan menubuhkan pasukan petugas pelbagai peringkat untuk merangka pelan tindakan.

Untuk menyelamatkan industri itu daripada bencana yang bakal menimpa, mereka meminta kerajaan membuat pengecualian dan memberi subsidi upah sehingga sektor berkenaan dibuka semula.

Presiden Persatuan Pengembaraan dan Pelancong India Malaysia (Mitta) K Thangavelu berkata, walaupun ahlinya dan pihak lain dalam industri itu mahu pembukaan semula dibuat secepat mungkin, namun mereka bersetuju bahawa ia perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Thangavelu, yang juga timbalan ketua Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) berkata, adalah silap bagi mana-mana kumpulan mendesak kerajaan yang mungkin tunduk kepada tekanan politik untuk mengumumkan pembukaan semula industri secara pramatang.

“Semua pihak menyedari bahawa kita boleh membina semula (ekonomi) hanya apabila sempadan negara dibuka, tetapi tergesa-gesa berbuat begitu tanpa sebarang bukti saintifik akan membawa kepada bencana yang tidak dapat dikawal.

“Walaupun begitu, sekiranya ia tidak dilakukan dalam enam bulan, 70% pekerja akan hilang pekerjaan dan industri berkaitan akan tutup.

“Setakat sekaraang pun hampir 50% daripada mereka diberhentikan kerja, manakala kebanyakan yang lain dipotong gaji,” katanya kepada FMT.

Presiden Mitta K Thangavelu.

Thangavelu berkata MTC telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji bagaimana negara lain membenarkan kemasukan pelancong, selain menambah bahawa mereka akan menyerahkan kajian dan cadangan berkenaan kepada kerajaan secepat mungkin.

“Tetapi saya mengakui bahawa dengan lonjakan jumlah jangkitan harian baru-baru ini, kami tidak mempunyai cadangan yang meyakinkan buat masa ini,” katanya.

Mengenai gesaan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) supaya sempadan dibuka kepada pelancong mulai 1 Jan tahun depan selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ditarik balik, beliau berkata, ia juga merupakan harapan industri itu.

Bagaimanapun, Thangavelu berkata, adalah lebih baik keputusan berhubung perkara itu diserahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Kesihatan berdasarkan bukti empirikal.

“Mengenakan tekanan dengan hanya berdasarkan permintaan pemain industri boleh menyebabkan kerajaan membuat keputusan yang silap,” katanya.

“Biar apapun, tiada sesiapa akan memasuki negara kita sekiranya bilangan kes masih tinggi walaupun jika PKPB tidak dilaksanakan, apatah lagi jika mereka perlu menjalani kuarantin selama beberapa hari dan ujian saringan sebanyak dua kali.”

Minggu lepas, Papuh mencadangkan kerajaan mengehadkan bilangan kemasukan pelancong asing seramai 1,000 orang setiap minggu, dan pada waktu sama membenarkan 500 rakyat Malaysia keluar negara bagi tempoh sama bermula tahun depan apabila PKPB berakhir.

“Kita boleh mengetatkan SOP dengan mensyaratkan mereka mengemukakan sijil ujian negatif Covid-19 dan menjalani kuarantin selama 3 hari, sekali gus membenarkan kemasukan untuk tujuan pelancongan selama tujuh hari.

Must Read

Related News