Kurang peruntukan projek pembangunan jejas kitaran ekonomi, kata menteri

0
281
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, kira-kira 200 sektor lain, termasuk arkitek, peguam, institusi perbankan, kedai barang binaan, dan juru runding, bergantung pada sektor pembinaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2021 bagi projek pembinaan tidak boleh dikurangkan kerana ia akan beri impak kepada kitaran ekonomi negara dan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, lebih 40% projek pembangunan Belanjawan 2021 merupakan projek sambungan, iaitu projek yang separuh siap seperti pembinaan sekolah, hospital dan lebuhraya.

Sekiranya projek tersebut dihentikan, ia akan beri kesan kepada rakyat, katanya.

“Kerajaan tidak mempunyai pilihan untuk potong kerana ia tidak munasabah. Saya yakin rakyat akan faham, yang penting kita kena jelaskan bahawa sukar bagi kerajaan untuk memotong peruntukan ini kerana projek sudah ada,” katanya dalam program Soal Rakyat yang disiarkan di TV3, hari ini.

Mustapa Mohamed.

Beliau berkata demikan bagi menjawab soalan mengapa kerajaan tidak menangguhkan projek pembinaan dan menyalurkan peruntukan pembangunan tersebut kepada hal-hal lain yang memerlukan tumpuan lebih seperti menangani pandemik Covid-19.

Mustapa berkata, tindakan mengurangkan perbelanjaan pembangunan akan turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara kerana kira-kira 200 sektor lain, termasuk arkitek, peguam, institusi perbankan, kedai hardware, dan juru runding, bergantung kepada sektor pembinaan.

“Mengambil contoh Belanjawan 2019, kerajaan mengurangkan peruntukan sektor pembinaan, banyak pihak profesional kehilangan sumber pendapatan.

“ Sektor pembinaan mempunyai faktor pengganda yang cukup besar, ia akan beri kesan buruk kepada banyak pihak dan ribuan kontraktor akan hilang kerja,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM322.5 bilion atau 20.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk Belanjawan 2021, meningkat daripada jumlah peruntukan perbelanjaannya untuk tahun 2020, yang disemak secara menaik menjadi RM314.7 bilion daripada anggaran peruntukan awal RM297 bilion.

Daripada jumlah untuk Belanjawan 2021, RM236.5 bilion (73.3%) akan disalurkan ke perbelanjaan operasi, RM69 bilion (21.4%) kepada perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion (5.3%) kepada tabung Covid-19.