GEORGE TOWN: Gerakan hari ini menggesa kerajaan negeri menjelaskan jumlah dana yang dibelanjakan untuk Muzium Kebudayaan Komik Asia sejak 2016 selepas didedahkan bahawa lebih RM400,000 diperuntukkan untuk membayar kos ruang yang menempatkan muzium itu di ICT Mall di Komtar.
Naib pengerusi Gerakan negeri H’ng Khoon Leng berkata, berdasarkan angka yang didedahkan di Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan membelanjakan hampir RM2 juta untuk sewa semata-mata sejak pembukaan muzium itu pada Mac 2016.
“Bayangkan, itu hanya sewa. Bagaimana pula dengan kos lain? Walaupun ia boleh dikendalikan oleh syarikat swasta, namun wang pembayar cukai digunakan. Jadi kita berhak tahu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
“Kami berpendapat wang itu boleh digunakan untuk membantu barisan hadapan sektor pelancongan yang terjejas teruk susulan kemerosotan perniagaan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).”
Didedahkan baru-baru ini bahawa kerajaan negeri memperuntukkan RM413,940 untuk menyewa ruang seluas 13,000 kaki persegi di ICT Mall untuk muzium tersebut.
Jawapan di DUN bertarikh 12 Okt menunjukkan dana itu diambil daripada cukai pelancongan kerajaan pusat yang dikutip pada 2018 dan 2019 berjumlah RM20.1 juta.
Terdahulu Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, sewa muzium berkenaan akan dibayar sehingga akhir Dis ini sebagai sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani pada 2016.
Beliau menafikan muzium itu dimiliki oleh kerajaan negeri, tetapi berkata, dana tersebut disediakan bagi menyokong pelancongan tempatan.
H’ng bagaimanapun berkata, carian di Suruhanjaya Syarikat (SSM) tidak menemui apa-apa maklumat, sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung pemilikan muzium tersebut dan statusnya di sisi undang-undang.
Beliau berkata, tidak wajar kerajaan negeri membiayai muzium tersebut kerana terdapat produk pelancongan lain yang lebih layak disokong.
“Atas nama ketelusan dan integriti, KM perlu dedahkan semua perjanjian yang ditandatangani dengan muzium tersebut,” katanya.
Beliau berkata, Gerakan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam supaya menyiasat muzium berkenaan.
Tahun lepas, bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan sama ada muzium itu adalah sebahagian daripada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) yang berkait dengan kerajaan negeri selepas terlihat papan tanda bertulis “milik penuh PYDC” di sebelah papan tanda muzium.
Ketua Pemuda Parti Penang Front Jasper Ooi juga berkata, dana kepada muzium tersebut hendaklah dihentikan sekiranya ia merupakan entiti persendirian.
Beliau berkata, dana itu boleh digunakan bagi membantu SME lain dalam industri pelancongan.
Kurator muzium, Hew Kuan Yau berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan kemudian.