
JOHOR BAHRU: Sebuah sindiket penyeludupan dadah lumpuh selepas tiga lelaki, termasuk seorang warga Indonesia ditahan dan 31.2kg syabu yang bernilai RM1.4 juta dirampas di Pantai Batu Layar, Pengerang.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan dibuat kelmarin dan semalam dalam empat serbuan berasingan, susulan operasi khas Pasukan Polis Marin dan Jabatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen negeri di sekitar Kota Tinggi serta Johor Bahru.
Katanya, dua suspek ditahan kira-kira 7 malam kelmarin dan seorang lagi ditahan 2.30 pagi semalam.
“Dua daripada tiga suspek berusia 33 hingga 46 tahun berkenaan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan kes tipu dan curi dalam bangunan.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam tong bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum dihantar ke Indonesia menggunakan jalan laut.
“Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 13 Dis dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.
Ayob Khan tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai kaitan dengan sindiket lain di Indonesia berikutan dadah yang dibawa keluar untuk pasaran negara jiran itu.
“Semua dadah ini sepatutnya dihantar pada Mac atau April lalu, tetapi disebabkan PKP (perintah kawalan pergerakan) dan kawalan perairan kita ketat, mereka cuba hantar pada 6 Dis lalu.”



