HomeNEWSUnit udara, dron bantu anggota PGA kawal sempadan

Unit udara, dron bantu anggota PGA kawal sempadan

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Superintenden Rosman Kasman berkata, pasukan dapat mengawasi hampir 100% kawasan sempadan Malaysia-Thailand. (Gambar Bernama)

KANGAR: Bantuan pemantauan dari udara dan penggunaan dron sepanjang penugasan rondaan bersepadu Op Benteng mampu mengurangkan beban tugas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mempunyai keupayaan terhad dalam mengesan pergerakan aktiviti penyeludupan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Superintenden Rosman Kasman berkata, keupayaan anggota rondaan darat sebelum ini adalah terhad, namun bantuan Pasukan Gerakan Udara dan Unit Dron oleh National Task Force (NTF) mampu mempertingkatkan lagi kawalan di sempadan.

“Sekarang ini dengan adanya bantuan berkenaan, kita dapat mengawasi hampir 100% kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan wang daripada Ahli Parlimen Arau merangkap pengerusi Barisan Nasional Perlis Shahidan Kassim bagi pihak keluarga Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan a/l Tari, yang kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Rosman Kasman.

Pada Selasa lepas, Baharuddin, 54, terkorban, manakala rakannya Norihan, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

Rosman berkata, bantuan tambahan dua aset, iaitu helikopter dan dron banyak membantu operasi rondaan walaupun masih terdapat aktiviti penyeludupan di sekitar sempadan Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

“Berdasarkan tangkapan serta maklumat yang diperoleh, kita dapat mengesan masih terdapat aktiviti penyeludupan dan berjaya mematahkan beberapa cubaan dalam beberapa hari kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa negara jiran (Thailand) turut sama meningkatkan pemantauan di sempadan mereka agar penyeludup tidak mudah memasuki negara ini.

“Bukan hanya negara kita sahaja yang ambil berat akan keselamatan negara, pihak di sebelah sana juga perlu memainkan peranan yang penting untuk membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Rosman berkata, insiden berbalas tembakan di Padang Besar pada 24 Nov dan cubaan tembakan terhadap anggota PGA di Bukit Kayu Hitam pada 25 Nov lepas tidak mematahkan semangat anggota yang mengawal sempadan.

“Semangat kami tidak berganjak walaupun satu inci, malah semakin berkobar-kobar untuk menjaga kedaulatan negara,” katanya.

Must Read

Related News