KOTA KINABALU: Umno Sabah memutuskan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya pada 16 Jan depan.
Ketuanya, Bung Moktar Radin berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Umno Sabah hari ini.
“Keputusan itu dibuat kerana Umno tidak bertanding di kerusi itu dalam pilihan raya negeri sebelum ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, timbalan ketua menteri itu berkata, lebih baik jika darurat diisytiharkan untuk Budaya bagi menangguhkan PRK itu, seperti yang dilakukan kepada PRK Batu Sapi.
“Lebih baik menangguhkan PRK dahulu kerana ia demi kebaikan rakyat.”
Pada 27 Nov lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Gerik di Perak dan DUN Bugaya di Sabah akan diadakan secara serentak pada 16 Jan nanti, dengan penamaan calon ditetapkan pada 4 Jan dan 12 Jan untuk pengundian awal.
Dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman dari Barisan Nasional dan Adun Bugaya, Manis Muka Mohd Darah dari Warisan.

