HomeNEWSTop Glove dakwa tindakan kementerian seolah-olah ‘cakap tak serupa bikin’

Top Glove dakwa tindakan kementerian seolah-olah ‘cakap tak serupa bikin’

Top Glove berkata pihaknya membelanjakan sekitar RM20 juta membeli 100 unit pangsapuri untuk pekerja.

PETALING JAYA: Top Glove berkata kementerian sumber manusia sebelum ini memaklumkan akan menggunakan pendekatan pendidikan sebelum menguatkuasakan standard perumahan baru bagi pekerja tahun depan, selepas 19 kertas siasatan dibuka terhadapnya kerana melanggar undang-undang.

Dalam kenyataan hari ini, Top Glove memberikan pautan ke laporan media bertarikh 8 September yang mana Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata majikan yang didapati bersalah tidak akan didenda bawah pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana penguatkuasaannya masih di peringkat awal.

“Top Glove ingin menjelaskan usaha mencari lebih banyak tempat tinggal dan memperbaiki tempat tinggal pekerja sedia ada sedang dilakukan memandangkan kita menggajikan pekerja yang ramai,” katanya.

“Kami jangka dapat menyelesaikan langkah untuk memperbaiki tempat tinggal pekerja sekitar 31 Disember 2020. Ini selaras pendekatan pendidikan kerajaan terhadap majikan di pelbagai sektor hingga akhir tahun ini (2020), hingga mereka dapat mematuhi Akta 446,” kata syarikat itu, yang menyediakan pautan laporan Bernama dan The Sun.

Saravanan dipetik sebagai berkata, kementerian tidak berniat mendenda majikan kerana tidak memenuhi syarat ruang minimum bagi tempat tinggal pekerja, kemudahan asas dan standard keselamatan serta kebersihan, menyatakan usaha mereka “akhirnya akan gagal” jika hanya fokus untuk menghukum majikan.

Saravanan turut berkata, menjadi tanggungjawab kementerian untuk mendidik dan menggalakkan majikan mematuhi Akta 446, yang dijanjikan untuk digunakan mengikut budi bicara.

Majikan yang didapati bersalah melanggar Akta 446 boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi setiap pekerja.

Pada 25 November, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian sumber manusia akan mula menguatkuasakan pindaan terhadap Akta 446, selepas peningkatan kes Covid-19 berkaitan tapak pembinaan dan kilang.

Pada sidang media hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Asri Ab Rahman berkata, 19 kertas siasatan dibuka terhadap Top Glove bawah Akta 446 melibatkan enam anak syarikat di lima negeri – Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Selangor.

Top Glove berkata, pihaknya sudah membelanjakan sekitar RM20 juta membeli 100 unit pangsapuri untuk pekerja sejak dua bulan lalu bagi memastikan mereka mematuhi Akta 446.

Katanya, ia tambahan kepada pelaburan sebelumnya, 100 rumah dua tingkat dan asrama dengan kemudahan lengkap, termasuk kantin, mesin juruwang automatik, kedai gunting rambut dan kedai runcit mini, berjumlah keseluruhan RM50 juta.

Must Read

Related News