PETALING JAYA: Terpegun melihat pelbagai rekaan perabot hasil karya seni dari kayu “pine” ini. Pembuatan yang kemas dan kukuh dipersembahkan dalam gaya santai. Tersusun cantik dipamerkan pada ruang kedai bagai menjemput pelanggan untuk singgah melihat mana yang berkenan di hati.
Namun, siapa sangka di sebalik pembuatan kayu ini berdiri dua wanita hebat di belakangnya, Seri Aisyah Sofian, 30 dan Nor Madihah Jaafar, 32, tunggak kekuatan MJ Design Solution yang terletak di Bandar Puncak Alam ini.
Kagum melihat hasil kerja mereka, rupanya kedua-dua menimba ilmu dari universiti dan bidang yang sama.
“Kami adalah rakan sekelas dalam jurusan “Industrial Design” dari Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu (UNISZA). Selepas tamat belajar pada 2013 kami mula membuat perniagaan kecil-kecilan, ambil tempahan dari rakan-rakan dan keluarga. Dari situ kami belajar tentang cara untuk menjalankan perniagaan.
“Kemudian pada 2015, kami dapat satu projek membuat kabinet untuk sebuah butik dan pada 2018 kami bekerjasama dengan Kayan Niaga untuk satu projek di Pavilion Kuala Lumpur,” ujar Seri memulakan bicara.
Pengalaman yang ada mengajar mereka bukan hanya tentang selok belok dunia perniagaan tetapi mematangkan lagi kemahiran dalam industri pertukangan yang sememangnya dipolupori oleh kaum lelaki.
“Benar, tidak ramai wanita yang terlibat dalam bidang ini. Kerjanya agak berat dan kasar tetapi bila ada minat dan kesungguhan semuanya tidak ada masalah. Kemahiran dan kreativiti sangat penting dalam industri ini,” jelas Madihah pula, anak kelahiran Terengganu.
Kecekalan kedua wanita ini bukan sahaja dilihat dari hasil karya mereka dalam bidang pertukangan tetapi apabila keduanya sepakat untuk mengambil alih perniagaan perabot dari pemilik terdahulu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi dilaksanakan.
“Waktu itu bulan Jun, kami ditawarkan kedai ini oleh pemilik lama. Sebulan berfikir akhirnya kami setuju. Duit simpanan yang ada kami gunakan sebagai modal dan teruskan perniagaan perabot ini.
“Ramai yang terkejut kerana kami mula buka kedai sewaktu PKP masih lagi dilaksanakan sedangkan ramai yang ‘gulung tikar’ semasa pandemik ini. Tetapi mungkin itu aturan yang telah ditetapkan dan kami nampak satu peluang yang luas di masa akan datang,” ujar Seri.
Malah kata Seri, mereka berbangga kerana tidak menggunakan sebarang pinjaman dari syarikat kewangan untuk memulakan perniagaan ini. Semua modal digunakan dari hasil titik peluh perniagaan yang disimpan dahulu.
Berbekalkan kemahiran masing-masing dalam bidang rekaan dan pengeluaran, MJ Design Solution beroperasi secara sepenuhnya pada awal bulan Okt.
MJ Design Solution mereka cipta dan membuat perabot hasil dari permintaan pelanggan. Mereka turut membuat pengubahsuaian dalaman untuk kediaman dan pejabat.
Antara perabot yang direka dan dihasilkan adalah kerusi, meja, almari, pintu, bingkai gambar, kabinet dapur, dekor dinding, lukisan 3D, “flooring” termasuk SPC, tiles, karpet dan lain-lain.
“Walaupun baru dua bulan beroperasi sepenuhnya, tetapi kami cuba gunakan pengalaman yang ada untuk menjalankan beberapa projek yang diterima. Kami baru saja selesai membuat rekaan dalaman untuk Hospital Serdang,” ujar Seri yang turut menjelaskan sudah menjalankan beberapa projek di Melaka, Johor Baharu, Terengganu dan Kedah sebelum ini.
Madihah pula berpendapat, setiap peluang yang datang perlu direbut dan jangan takut mengambil risiko kerana rezeki setiap manusia adalah berbeza.
“Jika orang selalu takut kepada PKP, kita kena berani terutama orang muda. Risiko memang ada dalam setiap perniagaan tetapi kalau kita duduk dan berdiam diri pun tak guna. Kita perlu bersedia dan bijak dalam setiap perancangan,” ujar Madihah.
Bercerita mengenai pengalaman sepanjang menjalankan perniagaan, Seri menambah, “Tak mungkin dapat mengumpul pengalaman jika tidak pernah jatuh. Kami pernah ditipu sebanyak RM20 hingga RM30 ribu tiga tahun lalu. Mungkin kecil pada orang lain tapi itu satu jumlah yang cukup besar bagi kami.
“Iyelah, baru belajar berniaga, kena tipu pula. Kerja dah siap tapi bayaran tidak dapat. Waktu itu kami masih mentah dalam dunia perniagaan. Puas mengejar dan meminta akhirnya kami pasrah. Mungkin itu bukan rezeki,” jelas Seri lagi.
Bagi mereka segala yang terjadi ada hikmah tersembunyi dan tidak berapa lama kemudian satu demi satu pesanan diterima. Job Malaysia, projek rumah di Kedah dan studio antara yang menunggu giliran.
“Alhamdulillah, kejadian tersebut banyak mengajar kami tentang pengalaman dan dunia perniagaan. Kami turut belajar tentang redha dan peluang,” ujar Seri lagi.
Bila ditanya mengapa memilih kayu pine sebagai pilihan dalam membuat perabot, Seri berkata, “Kayu ‘pine’ mempunyai banyak kategori atau gred. Pilihan kayu yang berwarna lembut dan cukup menarik dengan ira kayu yang cantik menjadikan ‘pine’ sebagai tren masa kini dalam pembuatan perabot. Lagi tua kayu itu, lagi jelas ira kayunya.
“Harga setiap perabot yang telah siap juga bergantung kepada gred kayu dan jenis perabot. Contoh; Jika sebuah meja berukuran 4 x 2 kaki harganya dianggarkan dari RM300 hingga RM800 sebuah, juga bergantung kepada saiz. Di sini kami gunakan ‘solid pine’ dan ia juga tertakluk kepada rekaan yang diminta oleh pelanggan. Namun, semuanya boleh dibincang,” ujarnya.
Kata Seri, dia mempunyai impian untuk membesarkan bengkel agar menjadi sebuah kilang yang boleh memasarkan perabot dengan jenama mereka sendiri.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan barangan perabot dari kayu ‘pine’ dengan rekaan unik dari dua usahawan muda ini anda boleh melayari Instragram MJ Design Solution atau terus berkunjung ke kedai perabot mereka.
MJ Design Solution
No. 30-1 Jalan Puncak Alam Jaya, 14
Pusat Perdagangan Puncak Alam
42300 Bandar Puncak Alam
Selangor.
Waktu operasi
Selasa hingga Ahad – 9 pagi hingga 9 malam
Isnin: Tutup
Hubungi
Madihah: 017-952 3086
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]