HomeNEWSThailand tingkat pengesanan kontak selepas 3 pengingkar kuarantin diuji positif Covid-19

Thailand tingkat pengesanan kontak selepas 3 pengingkar kuarantin diuji positif Covid-19

Sepanjang 24 jam lepas, Thailand mencatat 21 kes baru Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 3,998 dengan 60 kematian. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand kini seolah-olah berlumba dengan masa dalam usaha mengesan kontak bagi mengekang gelombang baru penularan Covid-19.

Ini kerana tiga rakyatnya yang memasuki negara itu secara haram dari Myanmar dan mengelak menjalani kuarantin wajib diuji positif virus berbahaya itu beberapa hari kemudian.

Dalam perkembangan terkini, dua wanita rakyat Thailand berusia 23 dan 26 tahun yang berjaya mengelak pemeriksaan imigresen diuji positif Covid-19 pada Ahad.

Pada Selasa pula, seorang wanita rakyat Thailand berusia 29 tahun kembali dari Myanmar ke Mae Sai di Chiang Rai melalui sempadan darat dan kemudian menaiki bas awam ke Chiang Mai.

Wanita itu juga melanggar kuarantin wajib dan diuji positif Covid-19 beberapa hari kemudian.

Ketua Kesihatan Awam Chiang Rai Thossathep Boonthong berkata, ketika mengenal pasti kontak rapat kes pertama, pegawai kesihatan mengenal pasti dua rakannya yang bekerja di pusat hiburan sama di pekan sempadan Tachileik di Myanmar.

“Pegawai Kesihatan Awam telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 30 individu yang mungkin mempunyai kontak dengan kedua-dua pesakit baru itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Gabenor Chiang Rai Prachon Pratsakul berkata, pegawai Kesihatan Awam mengenal pasti sekurang-kurangnya 356 orang di Chiang Rai dan Chiang Mai yang mungkin terdedah kepada ketiga-tiga pesakit baru itu, termasuk pelanggan sebuah pusat beli-belah, pawagam dan restoran, selain penumpang dan pemandu van serta bas awam.

Beliau berkata, pegawai Kesihatan Awam meningkatkan saringan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu.

Media tempatan melaporkan lebih 150 orang di Chiang Mai dan Chiang Rai menjalani saringan dan diuji negatif Covid-19.

Prachon berkata, rakyat Thailand yang bekerja di pekan sempadan Thailand-Myanmar ingin kembali ke tanah air selepas Myanmar mengenakan perintah berkurung dari waktu tengah malam sehingga 4 pagi bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, sesetengahnya jatuh sakit dan ingin kembali ke Thailand untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, ramai yang memilih untuk menyeberang sempadan secara haram.

Justeru, kami berharap rakyat Thailand yang ingin pulang ke tanah air akan menggunakan saluran sah untuk memasuki negara bagi mencegah penularan baru Covid-19,” katanya.

Sepanjang 24 jam lepas, Thailand mencatat 21 kes baru Covid-19 dengan sifar kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 3,998 dengan 60 kematian.

Must Read

Related News