PETALING JAYA: Seorang warganegara Malaysia kini boleh menarik nafas lega dan berharap dapat bersatu dengan suaminya dari Amerika Syarikat (AS), susulan pengecualian yang diumumkan Putrajaya untuk kemasukan pasangan asing dari 23 negara yang dilarang ke negara ini.
Selepas berbulan-bulan terpisah ekoran penutupan sempadan, katanya, beliau diberikan sinar harapan susulan pengumuman itu.
Pengasas bersama Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG), Bina Ramanand menyambut baik langkah kerajaan itu yang akan memberi kelegaan kepada banyak keluarga campur yang tertekan di Malaysia.
Beliau berkata, banyak keluarga menderita sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Wanita Malaysia itu, yang merupakan pemilik sebuah perniagaan kecil, berkata tidak mudah untuknya menghadapi pandemik itu, dengan masalah kesihatan suaminya dan isu kewangan yang memburukkan lagi keadaan.
“Suami saya menghidap diabetes dan glaukoma yang memerlukan rawatan perubatan. Mata kanannya juga buta. Cuaca sejuk pula melanda AS. Kalau kehabisan wang, beliau terpaksa tinggal di dalam keretanya.”
Selepas permohonan terakhirnya ditolak, beliau tidak menyangka peluang keduanya akan tiba tidak lama lagi.
Katanya, di sebalik cabaran yang dihadapi, beliau bersedia melakukan apa saja untuk bersatu semula dengan suaminya.
“Namun, kami mahu menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan untuk mengurangkan kos kuarantin yang tinggi demi kepentingan dan kesejahteraan keluarga,” katanya merujuk kepada ahli FSSG.
Beliau berkata, walaupun pasangan suami isteri sudah lama mahu bersatu semula dengan keluarga mereka, ramai yang kehilangan pekerjaan dan tidak dapat menanggung perjalanan pulang, apatah lagi kos kuarantin.
“Sesetengah rakyat Malaysia yang hamil tiada pilihan, selain melahirkan anak mereka di luar negara kerana sekatan perjalanan,” katanya.
Bina menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah sementara bagi menangani keperluan mereka kerana kurang penyelesaian berkesan hanya akan memburukkan lagi masalah mereka.
“Penyelesiaan kekal diperlukan, termasuk pembaharuan undang-undang dan dasar relevan untuk memastikan kestabilan keluarga Malaysia dan kesejahteraan mereka,” katanya.