Tangan kudung pandu teksi, Ruzli cekal cari rezeki demi keluarga

0
326
Pemandu teksi Ruzli Abdul Jalil berkata, zaman kegemilangan pemandu teksi untuk meraih pendapatan antara RM100 hingga RM200 sehari sudah berakhir berikutan kemajuan industri pengangkutan dan pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR: Jika dilihat pada fizikalnya, mungkin mustahil untuk menjalankan perkhidmatan teksi di jalan raya yang sibuk.

Namun, kekurangan itu tidak menghalang Ruzli Abdul Jalil, yang kudung tangan kanannya, untuk membawa penumpang sampai ke destinasi dengan selamat di sekitar ibu kota.

Semangat dan keberanian dalam mencari rezeki ternyata membuatkannya mampu membesarkan dua anak di samping isteri yang sering memberi dorongan.

“Saya mampu sediakan tempat untuk anak-anak berteduh, saya mampu sediakan rumah untuk mereka. Jika selepas ini saya tidak ada, mereka sudah ada rumah untuk didiami,” katanya kepada FMT.

Anak sulungnya kini bekerja di sebuah hospital kerajaan manakala yang bongsu baru saja menamatkan pengajian di sebuah universiti awam tempatan.

Menjadi rutin harian Ruzli bertolak dari rumahnya di Taman Desa, Segambut, seawal 7 pagi ke ibu kota, khususnya di Jalan Chow Kit untuk mencari pelanggan.

“Ada senang, ada susahnya. Semua pekerjaan ada pancarobanya. Saya pernah ditipu, penumpang tidak bayar dan ada juga murah hati beri tambang lebih.

“Saya rasa bawa teksi ini buat saya gembira dan yakin industri teksi akan naik semula, tidak apalah walaupun pendapatan harian itu sedikit,” katanya.

Menjadi rutin harian Ruzli bertolak dari rumahnya di Taman Desa, Segambut, seawal 7 pagi ke ibu kota, khususnya di Jalan Chow Kit untuk mencari pelanggan.

Katanya, zaman kegemilangan pemandu teksi untuk meraih pendapatan antara RM100 hingga RM200 sehari sudah berakhir berikutan beberapa perkhidmatan awam lain sudah disediakan buat seluruh rakyat di ibu kota dan juga “kehadiran” pandemik Covid-19.

“Sebelum Covid-19, saya boleh dapat sehari dalam RM150 hingga RM180. Semasa gelombang pertama, memang saya dapat antara RM5 hingga RM10 saja sehari, dan bila SOP semakin dilonggarkan, bolehlah dapat tinggi sikit, tapi bawah RM30,” katanya.

Ruzli akui pendapatan RM30 sehari memang tidak mencukupi untuk menanggung keseluruhan perbelanjaan isi rumahnya, namun bersyukur apabila isteri dan anak-anaknya memahami, malah anak sulungnya turut membantu menguruskan perbelanjaan dapur.

“Walaupun kadang-kadang mengeluh rasa susah, tetapi bila lihat di televisyen masih ramai lagi yang lebih susah daripada saya. Jadi, apa-apa pun saya tetap bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan buat saya dan keluarga selama ini,” katanya.

Ruzli sudah lali dan tidak meghiraukan persepsi masyarakat dilontarkan terhadapnya.

“Penumpang memang tidak nampak ada rasa takut. Saya juga ada pengalaman bawa pelancong dari luar negara. Ada yang puji saya apabila pertama kali melihat pemandu teksi yang kudung, tetapi masih boleh memandu dalam keadaan baik,” katanya.

“Saya dapat dorongan isteri, emak dan keluarga. Mereka kata saya mampu buat dan jangan rasa rendah diri, tunjukkan kepada orang yang tidak yakin kepada saya, bahawa saya layak untuk memandu teksi,” katanya.

Mengimbau kenangan ketika mula menceburkan diri dalam perkhidmatan itu, Ruzli berkata bukan mudah untuknya mendapatkan lesen memandu teksi yang sah, seperti mana diperoleh pemandu teksi lain. Sebaliknya perlu menjalani beberapa ujian termasuk semakan secara bersemuka oleh pihak berkuasa.

“Dulu tidak ada lesen PSV, ada juga saya curi-curi bawa. Saya ambil lesen apabila saya ditahan oleh penguatkuasa bahagian pelesenan. Saya pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, pada awalnya ada halangan kemudian saya jumpa Ketua Pengarah JPJ, Nadzri Siron (ketika itu).

“Saya beritahu saya bawa teksi untuk sara hidup. Saya ada anak dan isteri. Saya tunggu selama enam bulan untuk keputusan kelulusan itu. Alhamdulillah JPJ Putrajaya terima permohonan saya untuk dapatkan lesen PSV, dengan sokongan surat kesihatan doktor,” katanya.

Pengalaman 14 tahun memandu teksi mematangkan Ruzli berdepan rencah kehidupan dan mengajarnya erti keberkatan mencari rezeki, apatah lagi kini usianya mencecah 53 tahun.

“Mula-mula emak saya sendiri tidak yakin untuk saya bawa kereta, tetapi saya tunjukkan kepadanya perlahan-lahan. Alhamdulillah kini, mana-mana dia hendak pergi saya sendiri akan membawanya, tidak kiralah seperti pergi ke Terengganu atau ke Kelantan,” katanya.