Takut Covid-19, 30% rakyat Jepun mahu Olimpik Tokyo batal

0
189
Tokyo mencatatkan jangkitan virus tertinggi antara 47 wilayah di Jepun, dengan 305 kes baharu. (Gambar AP)

TOKYO: Tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan lebih 30% responden mahu Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo dibatalkan, lapor Agensi Berita Xinhua memetik penyiar Jepun NHK pada Selasa.

Tinjauan menerusi telefon pada hujung minggu lalu itu membabitkan 1,200 responden yang ditanya sama ada wajar atau tidak Sukan Olimpik dan Paralimpik dianjurkan pada 2021.

Daripada jumlah itu, 27% berpendapat acara itu harus diadakan manakala 32% lagi mahu ia dibatalkan dan 31% merasakan ia perlu ditunda.

Dalam tinjauan Oktober lalu, 40% responden menyatakan acara harus diadakan, 23% mahu ia dibatalkan dan 25% berpendapat ia perlu ditunda.

Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata, kerajaannya bertekad untuk menganjurkan Olimpik yang “selamat dan terjamin” tahun depan.

Jepun mengalami gelombang pandemik Covid-19 ketiga, dengan 1,677 kes baharu disahkan pada Isnin.

Tokyo mencatatkan jangkitan virus tertinggi antara 47 wilayah di Jepun, dengan 305 kes baharu.