Tak perlu pun siasat, kata Santiago

0
183
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata tindakan itu ibarat menghalangnya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata siasatan terhadap beliau berhubung sebuah forum mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA pagi ini disifatkan sebagai tidak perlu.

Malah, beliau berkata, tindakan itu ibarat menghalangnya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Siasatan polis baru sahaja selesai beberapa minit lalu. Saya baik-baik saja dan akan terus berjuang dengan cara berhemah,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Semalam, FMT melaporkan, Ahli Parlimen DAP itu dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan pada 10.45 pagi ini.

Forum itu, yang dianjurkan oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), berlangsung pada 25 November tahun lalu.

Ia disusuli penahahan 12 lelaki pada Oktober 2019 bawah SOSMA kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Forum berkenaan sebahagian daripada desakan SUARAM untuk memansuhkan SOSMA, yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.

Santiago salah seorang penceramah dalam forum itu.

Terdahulu, dilaporkan Bukit Aman memanggil Pengarah Eksekutif SUARAM Sevan Doraisamy berhubung forum sama.