
PETALING JAYA: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah, menegaskan perlombongan unsur nadir bumi tidak boleh dijalankan tanpa kelulusan teknikal, malah tiada sebarang kegiatan perlombongan boleh dijalankan dalam kawasan hutan simpan kekal.
Walaupun pengeluaran permit untuk penerokaan mineral terletak bawah kuasa kerajaan negeri, proses saringan dan tapisan perlu dijalankan bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum kelulusan diberikan.
Dari segi dasar pula, menteri memaklumkan dasar berkaitan pembangunan industri mineral akan diselaraskan Putrajaya menerusi Majlis Mineral Negara yang diaktifkan semula, dengan penglibatan kerajaan negeri.
Kedah semalam mengumumkan ia menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong REE yang dikatakan banyak ditemui di negeri itu.
Perjanjian dengan syarikat itu, dipercayai mempunyai rakan kongsi antarabangsa, akan membolehkannya ia mengekstrak mineral yang disebut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mungkin bernilai sehingga RM62 bilion.
Sanusi berkata, perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat itu ditandatangani minggu lalu, tetapi beliau enggan menamakan mineral itu atau nama syarikat terlibat.