
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengarahkan syarikat yang mengendalikan sisa klinikal di Sabah supaya mencari kaedah pembungkusan yang lebih efektif.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, ia bagi mempercepatkan pengisian beg jumbo berisi sisa klinikal ke dalam kontena seterusnya mengurangkan longgokan di luar premis syarikat itu.
”Kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memantau pengurusan sisa klinikal yang dilaksanakan oleh syarikat terbabit.
”Pemantauan rapi dimulakan sejak Mac 2020 dan awal penularan pandemik Covid-19 dan pihak JAS turut memantau secara harian kuantiti sisa klinikal yang diterima untuk rawatan serta pelupusan oleh syarikat berkenaan.
”Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati memang terdapat pertambahan sisa klinikal berikutan peningkatan kes Covid-19 di Sabah,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di negeri itu menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Masidi berkata demikian ketika mengulas aduan penduduk setempat di kawasan perindustrian, di Lok Kawi, dekat sini, yang risau dengan longgokan sisa klinikal di tepi jalan.
”Antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mempercepatkan pelupusan sisa klinikal berkenaan adalah memastikan pengurusan sisa klinikal oleh syarikat berkaitan adalah mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, panduan menangani dan mengurus sisa klinikal di Malaysia serta SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.
”Pihak JAS juga memberi kebenaran kepada syarikat berkenaan agar lambakan sisa klinikal terbabit dilupuskan di Semenanjung.
“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga diminta memaklumkan penghantaran kontena sisa klinikal ini kepada pihak berkuasa pelabuhan dan kastam bagi tujuan melancar serta mempercepat penghantaran untuk dirawat dengan segera,” katanya.
Katanya, berdasarkan pemantauan oleh JAS Sabah, Sedafiat Sdn Bhd, iaitu satu-satunya syarikat yang mengendalikan sisa klinikal di Sabah menerima antara 6 hingga 13 tan metrik sisa klinikal sehari.
Katanya, kesemua sisa klinikal tersebut adalah daripada 45 pusat kuarantin Covid-19 yang ada di negeri itu.
“Sehubungan itu, kerajaan mengarahkan syarikat berkenaan untuk menyegerakan pembinaan insinerator di Sabah agar sisa klinikal di negeri ini dapat dikendali dengan lebih baik dan cepat,” katanya.
Aktiviti menyelam mula dibenarkan
Dalam perkembangan lain, Masidi mengumumkan bahawa aktiviti menyelam kini mula dibenarkan di Sabah.
Bagaimanapun katanya, kebenaran itu masih tertakluk dengan larangan rentas daerah ketika tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini.
”Kebenaran ini juga diberikan kepada kawasan zon merah seperti di Kota Kinabalu dan Semporna yang mempunyai lokasi untuk menyelam.
”Aktiviti menyelam ini lebih kepada satu riadah dan rakyat sudah lama terkurung jadi kita longgarkan kepada mereka yang mempunyai hobi ini.
”Ini juga mengambil kira aktiviti menyelam dikategorikan sebagai sukan dan rekreasi yang tidak membabitkan sentuhan fizikal,” katanya.
Bagaimanapun Masidi berkata, kebenaran itu juga tertakluk kepada beberapa peraturan dan SOP khusus yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar nanti.
”Antara peraturan ialah bot yang membawa penyelam ke lokasi selaman tidak melebihi 30% daripada muatan bot bagi memastikan ada penjarakan fizikal,” katanya.