SPRM jalankan siasatan lanjut terhadap Ku Nan berhubung tuduhan rasuah RM1 juta

0
237

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian menegaskan ia akan menyiasat “perkembangan baru” dan laporan seorang saksi terhadap Tengku Adnan Mansor atas tuduhan rasuah RM1 juta.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata ia mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Adnan bersabit tuduhan itu, berdasarkan permohonan Jabatan Peguam Negara.

“Merujuk kes sama, SPRM difahamkan bahawa terdapat perkembangan baharu yang telah dikemukakan oleh pihak tertuduh serta satu laporan dibuat terhadap seorang saksi kes ini yang memerlukan siasatan lanjut oleh SPRM,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

“SPRM akan memulakan siasatan dengan perkembangan baharu tersebut dan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan setelah semuanya selesai,” kata kenyataan itu.

Agensi anti-rasuah itu berkata keputusan mahkamah hari ini tidak melepaskan terus Tengku Adnan yang lebih dikenali Ku Nan daripada tuduhan yang dihadapi.

“Keputusan melepas tanpa membebaskan ini tidak bermaksud beliau dibebaskan sepenuhnya namun masih boleh dituduh pada bila-bila masa sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara,” kata SPRM.

SPRM juga mengingatkan terdapat satu lagi kes terhadap Ku Nan yang masih menunggu keputusan dan tiada kena-mengena dengan keputusan mahkamah hari ini.

Pagi tadi, Hakim Mohd Nazlan mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan Ku Nan selepas pihak pendakwaan memberitahu mereka tidak mahu meneruskan kes terhadap beliau atas alasan “perkembangan baru”.

Ku Nan, didakwa menerima RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd ( kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk meningkatkan nisbah plot industri sebidang tanah di Jalan Semarak.

Perbuatan itu dikatakan dilakukan di CIMB cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 Disember 2013.

Tuduhan terhadap Ku Nan yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan dibuat mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah suapan diterima.

Sebelum ini, Tan didenda RM1.5 juta olh mahkamah atas tuduhan alternatif bersubahat dengan Tengku Adnan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Ketika prosiding pagi tadi, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, memohon perintah untuk “melepas tanpa membebaskan” Ku Nan kerana SPRM perlu melakukan siasatan lebih lanjut mengenai kes itu.

Beliau berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Tinggi lain, yang mana dia didakwa menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong pada 2016.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk keputusan kes itu.