PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menegaskan Belanjawan 2021 yang diluluskan di peringkat dasar semalam bukan belanjawan “seronok-seronok”, menjawab gesaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim supaya blok kerajaan tidak meraikan “kemenangan” itu terlalu awal.
Beliau berkata, pihak pembangkang bagaimanapun cuba menjadikan Belanjawan 2021, yang menurutnya merupakan belanjawan rakyat sebagai percaturan politik, apabila wujud agenda untuk menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 itu.
“Ini bukan soal seronok-seronok. Masalahnya ini permainan politik pembangkang. Bagi kita ini satu perkara yang serius. Sebab itu menteri kewangan menjawab setiap perkara dibangkitkan dalam sesi penggulungan.
“Jika lihat semalam, ada perkara baru dibangkitkan dan selain itu menteri kewangan turut mengambil sikap bertanggungjawab meminda beberapa perkara hasil perbahasan Ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, Anwar mengingatkan Ahli Parlimen kerajaan supaya jangan meraikan “kemenangan” terlalu awal, kerana Belanjawan 2021 masih boleh ditolak di peringkat jawatankuasa, walaupun lulus di peringkat dasar.
Katanya, keputusan majoriti pembangkang untuk tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi kerana tidak mahu mengganggu Belanjawan 2021 di peringkat awal, memandangkan masih terdapat proses perlu dilalui.
Anwar berkata demikian selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.
Azmin bagaimanapun berkata, tindakan Ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 memberi gambaran mereka sedar betapa penting belanjawan itu kepada rakyat, ketika negara masih berdepan wabak Covid-19.
“Fokus kita pertamanya untuk menangani masalah penularan Covid-19. Keduanya, memulihkan dan mencergaskan ekonomi. Ini satu belanjawan yang terbesar dilakukan negara, ia cuba membantu seramai mungkin mereka yang terkesan,” katanya.
Katanya, ini juga merupakan tindakan kali pertama apabila kerajaan berkongsi pembentangan belanjawan bersama pihak pembangkang, berbeza dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya tidak pernah ambil sikap terbuka.
“Disebabkan itu, sudah tentu menteri kewangan terpaksa meneliti, ada perkara yang boleh kita lakukan sekarang, ada perkara yang boleh kita lakukan untuk masa yang akan datang. Ini bukan belanjawan bersifat ‘one-off’, ia bersifat dinamik,” katanya.