Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran pada 2020 diunjurkan sebanyak 5.5%, kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19. Unjuran itu menjadi kadar tertinggi pernah dicatatkan oleh Malaysia sejak 1989 yang menyaksikan kadar pengangguran sebanyak 5.7%. Berdasarkan andaian tersebut, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran kekal kepada 4.7% pada Ogos dengan pengurangan kecil jumlah penganggur kepada 741,600 orang, berbanding Julai iaitu penurunan sebanyak 0.5% yang melibatkan mereka yang bekerja dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun.
Dalam hubungan ini, impak semasa dan selepas penularan pandemik Covid-19 tidak boleh dipandang mudah. DOSM dan Institut Penyelidikan Khazanah menjangkakan kesan pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kadar pengangguran mulai Mac sehingga kini. Sebahagian besar aktiviti ekonomi akan mengalami kemerosotan dan ini akan memberi kesan secara langsung kepada belia.
Berkaitan dengan insentif daripada kerajaan, sememangnya kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 dan Bantuan Prihatin Tambahan 2020 pada Mac turut menyentuh bantuan kepada golongan belia. Antara bantuan yang disediakan ialah bantuan Prihatin Bujang sebanyak RM800 (one-off); bantuan bagi pemandu e-panggilan sepenuh masa sebanyak RM500 (one-off); dan Bantuan Prihatin Nasional bagi pelajar Tingkatan 6, Diploma dan IPT RM200 (one-off). Namun, bantuan tersebut yang diberi secara one-off bukanlah jalan yang dapat menyelesaikan masalah ekonomi belia jangka panjang terutamanya kepada belia yang baru menamatkan pengajian atau graduan yang bakal menempuh pasaran buruh.
Selaras dengan itu, program kebolehpasaran belia dan usaha mencipta pengalaman kerja kepada belia dan graduan baharu wajar dilaksana bagi membantu belia. Perluasan program latihan pekerjaan atau perantisan, peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling), dan silang kemahiran (cross-skilling) perlu diberi perhatian oleh pelbagai pihak.
Program Skim Perantisan Nasional (SPN) dilancarkan secara bersama oleh Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof, dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada 22 Julai. Program ini merupakan satu inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan khusus untuk melonjakkan kebolehpasaran belia dan menyediakan peluang latihan serta pekerjaan.
Antara objektif program ini adalah untuk:
i. Meningkatkan tahap kebolehpasaran perantis melalui latihan soft-skills dan “on the job training”.
ii. Menyediakan sistem sokongan kepada belia untuk memudahkan mendapat pekerjaan.
iii. Membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
Program ini berkonsepkan “place and train” yang sedia ada di Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB). Sasaran adalah sebanyak 5,000 orang perantis akan menyertai program ini. Ia merupakan program tawaran baharu bagi membantu melonjakkan kebolehpasaran belia dan menyediakan lebih banyak peluang untuk belia mendapat pengalaman bekerja.
Perantis akan memperoleh elaun mobiliti untuk pertukaran atau perpindahan tempat kerja melebihi 100km. RM600 seorang di antara Semenanjung atau Sabah atau Sarawak atau Labuan, dan RM1,000 seorang daripada Sabah atau Sarawak atau Labuan ke Semenanjung atau sebaliknya. Bayaran akan dibuat secara “one-off” setelah perantis melaporkan diri kepada majikan. Selain itu, perantis akan mendapat latihan “soft-skills” secara percuma seperti pengucapan awam, teknik penulisan, kemahiran negosiasi, pemikiran kritis, dan kemahiran menyelesaikan masalah. Ini merupakan satu nilai tambah kepada pencapaian perantis itu sendiri yang secara tidak langsung akan memberi impak positif kepada majikan atau syarikat yang terlibat.
Sebagai permulaan, beberapa syarikat menyertai program SPN ini. Antaranya adalah syarikat yang berdaftar bawah Human Resource Development Fund (HRDF) dan syarikat yang bekerjasama dengan InvestKL. Syarikat-syarikat yang terlibat dengan program SPN boleh menuntut Subsidi Upah melalui inisiatif Penjana bawah Perkeso dan subsidi latihan melalui HRDF. Majikan akan mendapat manfaat subsidi upah Penjana berjumlah RM600 dalam tempoh enam bulan dan subsidi latihan RM4,000 seorang, dengan syarat majikan perlu berdaftar dengan Perkeso dan HRDF.
Setakat 23 Nov, seramai 397 orang yang telah menyertai latihan, 376 orang telah mendapat penempatan pekerjaan. 67 majikan atau syarikat telah bekerjasama dalam program SPN ini bagi menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada para belia.
Bagi belia yang berminat dan melepasi syarat-syarat kelayakan, permohonan boleh dibuat melalui perantisan.kbs.gov.my. Majikan atau syarikat yang ingin menyertai program SPN bagi menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada belia boleh menghubungi sekretariat SPN melalui e-mel [email protected] atau talian 03-8871 3265/ 3264 / 3463.