Skandal daging halal: Teknologi rantaian blok sebagai penyelamat?

0
261

Pendedahan amat memalukan mengenai industri daging halal yang berkisar gejala rasuah sistemik sebuah kartel terdiri daripada para pengeksport asing, yang didakwa berkomplot dengan empat agensi kerajaan merupakan satu peringatan yang agak provokatif bagaimana budaya tersebut berakar umbi.

Rasuah tersebut bukan saja setakat rutin yang melibatkan prosedur birokrasi, bahkan melanggar teras Islam mengenai makanan halal yang berkaitan ritual penyembelihan, dan apa yang amat mengejutkan ialah penglibatan para pegawai kerajaan yang rata-rata adalah orang Islam.

Pelanggaran berganda yang dikecam Islam di mana rasuah dan tipu daya yang mengakibatkan orang Islam tanpa pengetahuan mereka memakan daging yang tidak halal selama empat puluh tahun.

Sejak 1970-an, Malaysia berjaya mengubah industri halal menjadi salah satu pensijilan halal yang paling mapan dan dipercayai di peringkat global.

Dalam pada itu, negara ini juga berjaya mengembangkan industri makanan dan minuman halal dan rantaian bekalan, sambil secara agresif mengambil langkah untuk berkembang ke sektor lain, seperti perjalanan, kosmetik, dan pembiayaan.

Nilai eksport produk halal Malaysia meningkat hampir tiga kali ganda dalam tujuh tahun, dari RM15.2 bilion pada 2010 menjadi RM43.3 bilion pada 2017, menyumbang kira-kira 7.5% KDNK pada 2017.

Sayangnya, walaupun eksport halal menjadi sebahagian besar ekonomi negara, negara ini hanya mengambil sebahagian kecil pasaran halal global yang kini dianggarkan bernilai sekitar USD2.3 trilion setahun (tidak termasuk kewangan Islam) – salah satu pasaran yang paling cepat berkembang di mana pertumbuhan globalnya dianggarkan mencapai kadar tahunan 20% setahun.

Pada 2018, Malaysia hanya menyumbang 1% permintaan halal global yang membuktikan terdapat banyak peluang dan ruang untuk diperbaiki demi membangunkan sebuah hab halal yang telus dan dipercayai.

Walaupun unjuran penduduk Islam dijangka meningkat, menjadikannya 30% penduduk dunia menjelang 2050 yang juga merupakan salah satu faktor pendorong pengembangan pesat industri halal, namun pendedahan mengenai kewujudan kartel tersebut berita yang tidak baik untuk industri halal di sini.

Selain keperluan reaktif untuk memperkukuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan lebih banyak sumber, dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk meningkatkan tadbir urusnya mengenai pengeluaran permit yang diluluskan (AP) untuk pengimport daging, memandangkan rasuah kini menjadi satu cara hidup, keperluan mendesak dan proaktif diperlukan untuk mencegah kejadian tersebut berulang.

Salah satu langkah proaktif yang harus segera dilaksanakan adalah untuk pihak berkuasa yang terbabit – dalam hal ini MAFI (yang mengeluarkan AP) dan Jabatan Pembangunan Islam (JAKIM) untuk mendapatkan sijil halal – melaksanakan teknologi rantaian blok dalam meluluskan AP dan mengeluarkan sijil halal.

Teknologi rantaian blok merupakan sebahagian revolusi industri keempat yang dijangka dapat mengubah cara kita bekerja dan hidup. Dikenali juga sebagai teknologi lejar agihan (Distributed Ledger Teknology atau DLT), ia juga boleh mengubah semua strategi kartel yang licik dan licin untuk mencapai objektif penipuan mereka.

Melalui kontrak pintar, DLT dapat menetapkan secara digital semua proses dan keperluan mengikut kepiawaian halal, mengesahkan pematuhan halal, dan memastikan kebolehlaksanaan rantaian bekalan halal.

Kontrak pintar adalah protokol komputer yang bertujuan memudahkan, mengesahkan, atau menguatkuasakan perundingan atau pelaksanaan kontrak secara digital. Kontrak pintar membolehkan pelaksanaan urusan yang boleh dipercayai tanpa pihak ketiga.

Oleh kerana rantaian blok adalah sistem pengagihan kuasa antara semua pihak yang menyertainya, pembayaran kepada perantara (orang tengah) tidak diperlukan, dan ini menjimatkan masa dan persengketaan. Walaupun DLT mempunyai masalahnya yang tersendiri, ia tidak dapat disangkal lebih cepat, lebih murah, dan lebih selamat berbanding sistem tradisional, lantaran itulah bank dan pemerintah sedang beralih kepada sistem DLT.

Ketika seseorang meminta sesuatu urusan, permintaan tersebut disiarkan ke rangkaian rakan ke rakan (peer-to-peer network) yang terdiri daripada beberapa komputer, juga dikenal sebagai nod, yang mengesahkan transaksi dan status pengguna melalui algoritma yang diketahui.

Setelah disahkan, urusan tersebut digabungkan dengan urusan serupa sebelumnya bagi mewujudkan blok data baru untuk lejar, yang kemudian digabungkan dengan rantaian blok yang sedia dengan cara yang kekal dan tidak dapat diubah. Urusan terbaru itu kini selesai, sementara menunggu transaksi lain.

Sebagai pangkalan data lejar yang disulitkan (encrypted) untuk mengaburkan maklumat supaya tidak dapat dibaca tanpa pengetahuan khusus, rantaian blok itu hampir mustahil untuk digodam, menjadikan semua rekod urusan dapat disahkan secara kekal.

Sebagai satu sistem pengagihan kuasa tanpa pemilik tunggal, sebarang perubahan yang dilakukan pada rekod terdahulu mesti disahkan oleh majoriti nod atau anggota dalam jaringan tersebut. Ringkasnya, ia teknologi yang selamat dari segi reka bentuk.

Melalui teknologi rantaian blok, sesebuah rangkaian halal boleh mengecap waktu urusan dengan memasukkannya ke dalam rantai bukti kerja berdasarkan hash yang berterusan, lantas membentuk rekod yang tidak dapat diubah tanpa melakukan bukti kerja yang baharu. Ia tidak disimpan secara terpusat tetapi diedarkan di banyak pelayan komputer di seluruh dunia sebagai bukti secara kriptografi.

Rantaian blok menghilangkan keperluan pihak ketiga yang dipercayai untuk memastikan penilaian bebas terhadap integriti produk atau rangkaiannya, kerana rantai terpanjang berfungsi sebagai bukti urutan peristiwa yang disaksikan.

Teknologi ini dapat menerapkan jaminan dan penyelarasan halal secara menyeluruh berdasarkan keperluan pasaran halal tertentu, yang disokong oleh kontrak pintar automatik dalam pelaksanaan dan pengendalian prosesnya. Sebuah rantaian blok halal dapat memberikan ketelusan sepenuhnya kepada semua urusan rantaian bekalan halal yang pernah dilaksanakan.

Rantaian blok halal ini mempunyai maklumat lengkap mengenai alamat dan jalur rantaian bekalan mereka dari sumber hingga ke titik pembelian pengguna, memberikan jaminan yang sangat diperlukan bagi umat Islam bahawa kehalalan makanan di meja mereka dapat dikesan melalui semua lokasi rantaian bekalan halal, yang bermula dengan ladang halal atau ladang ternakan pertama dalam rantaian bekalan itu termasuk identiti petani atau penternak.

Rantaian blok menyuntik kepercayaan kepada rantaian bekalan halal dan rantai nilai pemilik jenama yang lebih mampu menjamin integriti halal. Ini juga dapat digabungkan ke dalam sistem keberlanjutan dan tanggungjawab korporat yang meluas demi untuk memperluaskan lagi pasaran jenama di luar pengguna Islam.

Salah satu aplikasi nyata rantaian blok yang paling penting adalah asal usul data (data provenance) – dokumentasi mengenai dari mana data itu berasal dan proses dan metodologi yang dihasilkannya. Ia mewujudkan satu garis masa penjagaan tunggal data yang selamat, yang direka agar ia kalis gangguan.

Sistem ini dapat digunakan untuk menyediakan ‘cerita’ kepada pelanggan mengenai setiap produk, meliputi bahan, lokasi, proses, ramuan, dan pembekal, dan memungkinkan perniagaan untuk membuktikan tuntutan mengenai produk mereka menggunakan data sebenar.

Dengan sistem ini, penjejakan asal usul dari mana setiap data berasal dan adakah ia masih terkini menjadi mudah.

Sudah tiba masanya MAFI menggunakan sistem ini dalam mengeluarkan AP untuk pengeksport membawa daging halal yang diimport, dan mengundang agensi kerajaan lain seperti kastam, polis pelabuhan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, serta JAKIM untuk menjadi sebahagian daripada jaringan dalam sistem ini yang dilandaskan kepada teknologi rantaian blok.

 

Jamari Mohtar adalah pengarah media dan komunikasi di EMIR Research.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.