HomePoliticsSingapura mula pemvaksinan pekerja kesihatan 30 Dis ini

Singapura mula pemvaksinan pekerja kesihatan 30 Dis ini

Kementerian Kesihatan Singapura berkata, pemvaksinan akan turut dilaksanakan di lebih banyak institusi penjagaan kesihatan pada minggu berikut. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Singapura akan mula melaksanakan pemvaksinan COVID-19 pekerja kesihatan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 30 Dis ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu hari ini.

Menurut kenyataan MOH di sini, pemvaksinan akan turut dilaksanakan di lebih banyak institusi penjagaan kesihatan pada minggu berikutnya.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin daripada Pfizer-BioNTech pada 21 Dis lepas dan menjangkakan menerima stok vaksin COVID-19 berikutnya dalam tempoh beberapa bulan.

MOH berkata, ia berhasrat memulakan pemvaksinan dengan golongan warga emas yang berusia 70 tahun dan ke atas pada Februari 2021.

“Selepas itu kita akan memvaksin rakyat Singapura lain dan penduduk tetap yang sudah lama berada di negara ini serta layak dari segi perubatan untuk pemvaksinan,” menurut kenyataan itu.

MOH berkata, kerajaan Singapura hari ini menerima syor Jawatankuasa Pakar mengenai pemvaksinan COVID-19 yang dikemukakan pada 24 Dis lepas berhubung strategi keseluruhan pemvaksinan.

Antaranya ialah semua individu yang menetap di Singapura, termasuk warganegara dan penduduk tetap serta pemegang pas jangka panjang yang layak dari segi perubatan hendaklah divaksin.

Bagi memastikan akses kepada vaksin itu dan membolehkan republik tersebut mencapai kadar lebih tinggi pemvaksinan populasi, ia akan dilakukan secara percuma, menurut MOH.

Kementerian itu berkata, Jawatankuasa Pakar juga mengendors penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Singapura bagi individu berusia 16 tahun dan ke atas.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan pemvaksinan hendaklah dilakukan secara sukarela.

Must Read

Related News