Sarawak mahu pertingkat peranan Bumiputera dalam semua industri

0
241
Dengan banyaknya projek prasarana yang sedang berjalan, Sarawak akan memastikan kontraktor Bumiputera sebahagian daripada kemajuan pembangunan negeri. (Gambar Bernama)

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang merangka formula untuk memupuk dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam semua industri.

Ketua Menteri Abang Johari Openg memaklumkan kepada pejabat setiausaha kewangan negeri supaya merangka formula bagi memastikan pekerjaan atau projek tertentu diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

“Ini bagi membolehkan mereka bersaing sesama sendiri dan bersedia berdepan cabaran semasa,” katanya pada majlis pelancaran Anugerah Vendor Tenaga Sarawak hari ini.

“Kita ada banyak projek prasarana (yang dibiayai oleh kerajaan negeri), dari jalan ke jambatan. Justeru kita harus berikan mereka peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemajuan pembangunan negeri,” katanya.

Abang Johari Openg.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, termasuk menyediakan bekalan air dan elektrik serta prasarana fizikal dan digital lain.

Sebanyak RM2.37 bilion diperuntukkan untuk projek bekalan elektrik di kawasan luar bandar bagi 2019 dan 2020, dengan matlamat bekalan penuh di semua kawasan pedalaman antara 2022 dan 2023.

“Apabila sekolah luar bandar kita, rumah panjang dan kampung mempunyai kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik serta prasarana digital, ia akan membuka peluang dan menjana lebih banyak kegiatan ekonomi,” katanya.

Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) atas usahanya memastikan penglibatan dan penyertaan adil kontraktor dan vendor Bumiputera dalam projek pembangunan tempatan.

Pada 2014, SEB mewujudkan sebuah jabatan untuk memantau penglibatan Bumiputera dan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pada 2015.