HomeNEWSSabah perlu talian cegah bunuh diri, kata pengerusi PKR negeri

Sabah perlu talian cegah bunuh diri, kata pengerusi PKR negeri

Christina Liew berkata talian bantuan itu akan memberi peluang kepada orang yang terjejas dengan lanjutan pelaksanaan PKPB untuk mendapat perkhidmatan kaunseling.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah harus menimbangkan langkah melancarkan talian khas untuk membantu individu yang berniat membunuh diri, kata bekas timbalan ketua menteri Christina Liew.

Ahli Parlimen Tawau itu berkata, talian bantuan berkenaan boleh dijadikan salah satu langkah dalam kempen pencegahan bunuh diri di negeri itu.

Beliau membuat gesaan itu susulan percubaan bunuh diri seorang gadis berumur 15 tahun yang diselamatkan penyelamat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat semalam.

“Keadaan pada ketika ini membimbangkan kerana percubaan bunuh diri pada Rabu itu adalah kes ke-3 dalam ibu kota negeri sejak 18 Nov. Dua insiden pertama adalah tragedi bunuh diri.

“Ia memberi isyarat yang kuat kepada pihak berkuasa bahawa ada sesuatu yang tak kena dan individu yang terdesak perlu mendapat bantuan segera.

“Talian bantuan untuk cegah bunuh diri yang dicadangkan akan melengkapi Perkhidmatan Sokongan Psikososial dan Kesihatan Mental yang dilancarkan Jabatan Kesihatan Sabah pada bulan lalu,” katanya dalam kenyataan.

Gadis yang dikatakan terkesan dengan masalah keluarga itu cuba membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Sembulan semalam, tetapi diselamatkan pasukan bomba tidak lama kemudian.

Walaupun berusaha memujuknya selama 5 minit cuba dan akhirnya gagal, namun mereka berjaya menyelamatkannya atas bantuan seorang nelayan yang membuat persediaan terlebih dahulu di sungai.

Liew berkata talian bantuan itu harus dikendalikan kaunselor yang profesional dan menjadikannya sebagai peluang kepada orang yang terjejas dengan lanjutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk mendapat perkhidmatan kaunseling atau bantuan yang munasabah.

“Kempen pencegahan bunuh diri Covid-19 akan meningkatkan kesedaran bahawa nyawa itu bernilai dan bunuh diri bukan jalan pintas untuk membebaskan diri daripada kesulitan peribadi.”

“Lebih penting lagi, bunuh diri dapat dielakkan jika bantuan disediakan kepada mereka yang mempunyai pemikiran sebegitu dan mereka perlu tahu bahawa terdapat orang penyayang dalam masyarakat yang akan mendengar serta mempedulikan kesejahteraan dan bersedia membantu mereka.”

Liew berkata masyarakat boleh menghubungi dua NGO, iaitu talian bantuan percuma Befrienders (016-8036945) dan talian bantuan percuma Kawan Bah (012-7753020) untuk mendapat sokongan emosi.

Minggu lepas, Befrienders menyuarakan kekhuatirannya mengenai peningkatan kes bunuh diri.

Pengarah Publisiti Befrienders Kota Kinabalu Jessie Yong berkata lebih ramai orang menghubungi talian mereka di Sabah sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac dan bilangan berkenaan hampir serupa dengan jumlah tahun lalu.

Beliau berkata 1,375 panggilan diterima antara Mac hingga Oktober dan 30% daripadanya adalah pemanggil yang berniat membunuh diri.

“Kami menerima 1,473 panggilan sepanjang (tahun) lalu, yang mana hanya 20% berniat membunuh diri,” kata Yong.

Must Read

Related News