HomePoliticsSabah buka sempadan kepada pengunjung dari Brunei

Sabah buka sempadan kepada pengunjung dari Brunei

Lapangan Kota Kinabalu kini boleh menerima kemasukan pelancong dari Brunei.

KOTA KINABALU: Sabah membuka sempadannya kepada pengunjung antarabangsa bermula dengan Brunei.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, pelancong dari negara jiran itu dibenarkan memasuki negeri itu, sama ada melalui jalan darat atau udara, memandangkan Brunei bebas daripada kes Covid-19 lebih tujuh bulan lalu.

Katanya, Brunei juga tidak termasuk dalam senarai 23 negara dianggap berisiko tinggi Covid-19.

“Alasan kenapa kita membenarkan pengunjung dari Brunei kerana mereka tidak mempunyai sebarang kes atau jangkitan baru sejak 215 hari lalu,” katanya dalam taklimat Covid-19 hari ini.

“Ia sebenarnya ialah negara hijau, jadi kami merasakan ancaman itu tidak ada atau dapat diatasi.”

Bagaimanapun, beliau berkata, pengunjung perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan, syarat sama untuk pengunjung domestik yang mahu memasuki Sabah.

“Kita akan pertimbangkan (kebenaran kemasukan) negara lain dari semasa ke semasa.

“Kita buka sempadan dengan penuh berhati-hati, kita tahu sekali lagi kesilapan akan menjadikan situasi Covid-19 di luar kawalan…kita akan lihat negara lain berdasarkan kes masing-masing.”

Rakyat dari 23 negara yang dilarang memasuki Malaysia ialah India, Indonesia, Filipina, AS, Brazil, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman dan Iraq.

Must Read

Related News