PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ke atas sebuah pusat pemulihan akhlak (PPA) di Muar, Johor berkuatkuasa 24 Dis hingga 6 Jan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD itu akan membabitkan 773 penghuni dan 127 kakitangan.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif direkodkan dalam kalangan tahanan.
“Berdasarkan penilaian risiko oleh KKM mendapati risiko dan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan Orang Kena Tahan adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ismail berkata, sidang khas MKN juga bersetuju menamatkan PKPD di Kondo Sierra East di Relau, Pulau Pinang selepas tiada kes positif COVID-19 direkodkan di lokaliti berkenaan.
“Penilaian risiko oleh KKM juga mendapati majoriti penduduk kondo ini tidak ada kaitan dengan kluster yang dilaporkan.
“Atas nasihat KKM, sidang khas hari bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kondo Sierra East pada 23 Dis, lebih awal dari yang dijadualkan iaitu 31 Dis,” katanya.
Polis menahan seramai 239 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan 238 individu dikompaun manakala baki direman.
Mengulas mengenai kesalahan ingkar PKP, beliau berkata, seramai 230 individu ditahan dan semua mereka dikompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (76), aktiviti pusat hiburan (71), tidak memakai pelitup muka (41), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (37) dan lain-lain (5).”
Mengenai Operasi Benteng, katanya, sebanyak 33 pendatang asing tanpa izin ditahan sementara lima kenderaan darat dirampas dalam 111 sekatan jalan raya.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus.”